![](https://media.buletintv3.my/2023/12/le6VIkD4-BTV3-SLIDE-19.jpg)
Kuala Lumpur: “Bagi saya ia antara gol terbaik tahun ini dan boleh dicalonkan sebagai salah satu gol terbaik Puskas bagi 2023.”
Demikian pandangan jurulatih muda sedang meningkat naik, Sulaiman Hussin yang mengakui terpegun dengan aksi menakjubkan Arif Aiman Hanapi, pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika mencetak gol keempat dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang BG Pathum United, Selasa lalu.
Jelas Sulaiman yang juga bekas jurulatih Kuching City, gol hasil gerakan solo dari tengah padang sejauh 70 meter itu dianggap luar biasa dan boleh dicalonkan ke Anugerah Puskas FIFA, tahun depan.
“Gol dijaringkan Arif Aiman bagi saya ada kekuatan dan kelajuan sehingga mampu mengatasi pertahanan serta ketenangan untuk meletakkan bola ke dalam gawang,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, Arif Aiman berlari dari kawasan tengah padang JDT di sebelah tepi sebelum pantas menggelecek bola ke dalam kotak penalti lawan untuk menjaringkan gol keempat pasukannya.
Malah, dalam gerakannya itu dia melepasi dua pertahanan lawan sebelum tenang memperdayakan penjaga gol BG Pathum, Chatchai Budprom pada minit ke-92.
Antara individu yang terpegun dengan jaringan itu adalah pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilihat tercengang melihat aksi ‘superb’ Arif Aiman itu.
Tunku Ismail dilihat berdiri sambil menepuk tangannya sebagai tanda penghormatan buat pemain sayap skuad kebangsaan itu.
Selain Tunku Ismail, peminat bola sepak tanah air turut memuji kelincahan pemain daripada produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu yang dilabelkan umpama ‘Messi’ jelmaan Malaysia.
Pada perlawanan itu, JDT menewaskan BG Pathum United, 4-1 untuk menduduki tangga ketiga kumpulan.
Walaupun menang, JDT gagal melangkah ke pusingan berikutnya selepas menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan I di belakang Kawasaki Frontale dari Jepun dan wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai.