HONG KONG: Pusingan suku akhir Badminton Terbuka Hong Kong malam ini menampilkan persembahan cemerlang kem kebangsaan apabila empat daripada lima pemain negara yang beraksi berjaya melayakkan diri ke separuh akhir.
Beregu campuran Goh Soon Huat dan Shevon Lai mara selepas menewaskan pasangan bukan pilihan dari Indonesia Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Mentari.
Menang mudah 21-10 pada set pertama, Soon Huat dan Shevon yang diletakkan pilihan ke-4 diberi tentangan hebat pada set kedua.
Namun, Soon Huat dan Shevon berjaya mengekang kebangkitan lawan dengan kemenangan 21-18,
Separuh akhir esok, Soon Huat dan Shevon menentang beregu tuan rumah, Tang Chun Man dan Tse Ying Suet.
Meskipun Chun Man dan Ying Suet, bukanlah pilihan kejohanan, namun kelebihan tempat sendiri dan keupayaan mereka mengejutkan pilihan kedua dari Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue sesuatu yang tidak boleh dipandang mudah.
Melengkapkan malam ceria kem negara, perseorangan lelaki Ng Tze Yong.
Tze Yong mara ke separuh akhir selepas mengatasi Magnus Johannesen dari Denmark.
Agak bergelut sebelum menang 21-18 pada set pertama, Tze Yong memperkemaskan permainan untuk mengakhiri cabaran Johannesen 21-12 pada set kedua.
Halangan lebih rumit menanti Tze Yong pada separuh akhir esok, menentang pilihan kelima dari Indonesia Jonatan Christie.
Jonatan mara selepas mengatasi tentangan sengit pemain dari pusingan kelayakan Taiwan, Chia Hao Lee, 21-19, 21-18.
Hao Lee sebelum ini mencuri tumpuan, mengejutkan pemain nombor satu dunia, Victor Axelsen pada pusingan pertama dan Lee Zii Jia pada pusingan kedua.
Dua lagi wakil negara yang akan beraksi pada separuh akhir esok, beregu wanita, Pearly Tan dan M Thinaah serta perseorangan wanita, Goh Jin Wei.