KOWLOON, HONG KONG: Perseorangan wanita, Goh Jin Wei tidak perlu mengangkat raket untuk melangkah ke suku akhir Badminton Terbuka Hong Kong, ia susulan lawannya dari Thailand, Intanon Ratchanok, juga pilihan ke-4 menarik diri.
Pada suku akhir esok, Jin Wei akan menentang pilihan ke-6 dari China, Han Yue.
Jin Wei memulakan kempen Terbuka Hong Kong apabila menewaskan pemain Denmark, Line Hojmark Kjaersfeldt pada pusingan pertama menerusi permainan tiga set, 23-25, 21-13, 21-14.
Turut melangkah ke suku akhir, beregu lelaki Goh Sze Fei dan Nur Izuddin yang menundukkan gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei dan Yang Po Hsuan.
Mereka menang mudah 21-13, 21-15 cuma dalam tempoh 31 minit.
Menanti Sze Wei dan Izuddin pada suku akhir esok, juga lawan dari Taiwan, namun dijangka lebih sukar, Lee Yang dan Wang Chi Lin, pilihan ke-8 kejohanan.
Beregu wanita, Pearly Tan dan M Thinaah turut menepati ramalan ke suku akhir.
Pada pusingan kedua, Pearly dan Thinaah tidak berdepan masalah, apabila mudah mengalahkan pasangan senegara Anna Ching Yik Cheong dan Teoh Mei Xing, 21-7, 21-10 cuma dalam masa 31 minit.
Seteru mereka pada suku akhir esok pilihan ke-4 dari Thailand Jongkolphan Kititharatul dan Prajongjai.