![](https://media.buletintv3.my/2025/02/TQnRr6YN-BOLA.jpg)
SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) sekali lagi gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Meskipun cuba tampil dengan aksi lebih agresif selepas tewas tipis kepada Sabah FC, 1-2 bulan lalu, skuad Hobin Jang Hobin tidak berupaya untuk menandingi kualiti persembahan Terengganu.
Malah, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali dilihat lebih mendominasi perlawanan terutama pada separuh masa pertama.
Usaha pelawat membuahkan hasil apabila berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-25 hasil sepakan Nurillo Tukhtasinov dari jarak kira-kira 30 meter yang gagal ditangkap penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Aqil Abd Razak.
Hasil jaringan itu, skuad Penyu dilihat terus melakukan beberapa serangan merbahaya yang mencemaskan kawasan kubu Negeri Sembilan.
Dua percubaan merbahaya dari luar kotak penalti masing-masing menerusi Safawi Rashid dan Akhyar Abd Rashid pada minit ke-39 dan 43, sekadar melepasi palang.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dilihat meningkatkan intensiti dengan melakukan serangan ke kubu lawan dalam usaha untuk mendapatkan jaringan.
Tuan rumah hampir mendapatkan gol penyamaan menerusi percubaan Jaque Faye yang berjaya memperdayakan penjaga gol, Syed Mohd Nasrulhaq Syed Bidin pada minit ke-58, namun bola yang hampir melepasi garisan gol itu berjaya disepak keluar Safwan Maslan.
Menerusi satu serangan balas di kawasan Negeri Sembilan membawa kepada kesilapan dilakukan pemain pertahanan tuan rumah dalam kawasan gol.
Hasil video bantuan pengadil (VAR), pengadil Firdaus Dahlan memberikan sepakan penalti kepada Terengganu pada minit ke-79 dan Nelson Bonilla yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan Muhamad Aqil untuk gol kedua pelawat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.