KUALA LUMPUR: Peminat tempatan di Axiata Arena sekali lagi kecewa apabila satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kandas di separuh akhir Terbuka Malaysia, sebentar tadi.
Pasangan nombor lima dunia itu terlepas tiket ke final selepas tewas di tangan gandingan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 19-21, 14-21 dalam tempoh 50 minit.
Sokongan padu ribuan penonton yang hadir gagal menyemarakkan semangat Tang Jie-Ee Wei yang dilihat beraksi di bawah tahap prestasi terbaik mereka.
Pasangan negara itu bermula baik di set pertama apabila mendahului 5-1 dan 9-5.
Bagaimanapun, mereka gagal mengekalkan momentum itu apabila melakukan banyak kesilapan mudah termasuk pukulan sangkut di jaring sekali gus membenarkan gandingan China bangkit dan menamatkan aksi dengan kemenangan 21-19.
Skrip sama turut menghantui Tang Jie-Ee Wei di set kedua apabila mendahului awal permainan sebelum dikejar Yan Zhe-Dong Ping yang mendapat mata daripada kesilapan dilakukan gandingan negara sekali gus mendominasi permainan dan melakar kemenangan 21-14 sekali gus mara ke final.
Kekalahan itu menyaksikan hasrat untuk sekurang-kurangnya melihat satu wakil negara beraksi di final beregu campuran tidak kesampaian selepas pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terlebih dahulu ditunjukkan jalan keluar selepas tunduk di tangan gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.