KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa akur kandas di separuh akhir Terbuka India selepas tewas kepada pasangan China, hari ini.
Walaupun tewas 21-18, 19-21, 9-21 kepada Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, pujian harus diberikan kepada pasangan negara itu apabila mampu memberi tentangan sengit hingga mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi itu menyaksikan Soon Huat-Shevon Lai mempamerkan aksi mantap pada set pertama sebelum meraih kemenangan 21-18.
Namun, Zhen Bang-Ya Xin yang memegang status sebagai beregu campuran nombor dua dunia bangkit pada set berikutnya untuk mengheret ke perlawanan penentuan.
Jelas, pengalaman memisahkan kedua-dua pasangan itu apabila wakil China tidak menghadapi masalah untuk menguasai perlawanan sebelum memastikan slot final milik mereka menerusi kemenangan 9-21.
Sementara itu, Shevon berkata, tewas pada set kedua menyebabkan mereka seolah hilang arah sekali gus memberi kelebihan kepada lawan untuk bangkit pada perlawanan penentuan.
Terdahulu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah gagal menempah slot final Terbuka India apabila tumpas di tangan wakil Korea Selatan, Kim Hye Heong-Kong Hee Yong 18-21, 18-21.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.