comscore
Tumpuan :
Sukan

Gelaran juara Piala Dunia Kelab milik Man City

Pemain Manchester City meraikan kejayaan memenangi Piala Dunia Kelab FIFA 2023 selepas menundukkan Fluminense 4-0 pada aksi final di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah awal pagi tadi. – FOTO REUTERS

JEDDAH, Arab Saudi: Julian Alvarez menyumbat gol paling pantas pernah dijaringkan pada final Piala Dunia Kelab sekali gus membantu Manchester City membenam kelab Brazil, Fluminense 4-0 awal pagi tadi untuk melengkapkan tahun penuh gemilang dengan meraih trofi kelima mereka pada 2023.

Pasukan kendalian Pep Guardiola, yang terlepas khidmat penyerang Erling Haaland kerana cedera pada kejohanan dunia itu, sudah memenangi Piala FA, Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Piala Super UEFA tahun ini.

“Untuk menang lima trofi ini – bagi saya, lima piala terbesar yang boleh kami rangkul – adalah luar biasa,” kata kapten Kyle Walker.

“Saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada skuad ini dan sejujurnya ia satu penghormatan untuk bermain di samping pemain ini, saya tidak boleh tuntut lebih lagi daripada mereka.

“Ia terlalu sukar untuk menang secara konsisten, jadi untuk berdiri di sini hari ini dengan memenangi lima kejuaraan benar-benar istimewa dan satu pencapaian besar.”

Penyerang Manchester City, Julian Alvarez (dua dari kanan) menyumbat gol pertama menentang Fluminense pada final Piala Dunia Kelab di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah awal pagi tadi. – FOTO REUTERS

Alvarez menceriakan penyokong City hanya 40 saat selepas sepak mula. Penjaga gol Fabio berjaya menumbuk keluar percubaan jarak jauh Nathan Ake tetapi Alvarez pantas menyambut bola muntah sebelum mendada bola masuk ke dalam pintu gol.

Nino kemudian menjaringkan gol sendiri pada minit ke-27 apabila dia tertampan masuk rembatan Phil Foden.

Foden memastikan lawan tidak mampu bangkit dengan gol ketiga pada minit ke-72, menyempurnakan hantaran lintang Alvarez.

Alvarez melengkapkan aksi dengan gol kedua peribadi pada minit ke-88 dengan rembatan dari luar kotak penalti.

Kemenangan itu menjadikan Guardiola pengurus pertama mengemudi tiga kelab berbeza memenangi Piala Dunia Kelab, menang bersama Barcelona pada tahun 2009 dan 2011 kemudian Bayern Munich pada 2013.

Rodri dianugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan manakala kapten City, Kyle Walker meraih Bola Perak. – REUTERS

Loading...
Terkini