Tumpuan :
Sukan

Gelagat Penyokong TFC Pakai Terendak Bakal Curi Tumpuan

KUALA TERENGGANU: Demi pasukan Terengganu FC (TFC), peminat skuad itu sanggup lakukan apa sahaja bagi memastikan pasukan kesayangan mereka mampu memperagakan aksi terbaik menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Bertempat di Chendering, dekat sini, ahli Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC (TFC) dan ‘The Batik Boys’ berganding bahu menghias terendak dan melakar kain rentang untuk dibawa ke stadium Sabtu ini.

Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, lebih 30 penyokong ahli kelab bersama ‘The Batik Boys’ akan hadir ke stadium sebagai ‘pemain ke-12’ dengan memakai terendak dan mengenakan kain batik bagi menyemarakkan lagi semangat pemain TFC ketika berdepan dengan gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu.

Katanya, keunikan ahli menyaksikan perlawanan sambil memakai terendak selain mengenakan kain batik adalah antara identiti kelab penyokong itu setiap kali skuad Penyu layak beraksi di pentas final.

“Ini antara identiti kami, kebetulan nelayan di Terengganu biasanya memakai terendak dan kain batik, jadi kami bersama pengeluar kopi Super Jantan dan ‘The Batik Boys’ menzahirkan sokongan padu kepada pasukan kesayangan setiap kali TFC layak beraksi di pentas final dan kali terakhir pada 2018 ketika aksi final Piala Malaysia menentang Perak.

“Bagi menambah lagi aura dan kehangatan pemain, kami mengecat terendak dengan warna hitam putih selain melakar kata-kata semangat pada 10 helai kain rentang bagi meniup api perjuangan pemain sekali gus menggegarkan stadium walaupun habiskan lebih RM1,000 untuk persiapan ini.

“Kami harap peminat setia skuad Penyu dapat mengamalkan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi tanpa sebarang provokasi kerana padahnya buruk jika tidak dapat mengawal emosi,” katanya ketika ditemui.

Seorang penyokong, Muhammad Asraf Mohd Ariffin mengharapkan pemain dapat membalas sokongan diberikan penyokong setia dengan persembahan terbaik untuk membawa pulang Piala FA ke bumi Terengganu.

“Buat pemain, beraksilah bersungguh-sungguh demi lencana di dada selain menghargai penyokong yang datang dari jauh, manakala buat jurulatih, rancanglah strategi terbaik dan memberikan motivasi kepada pemain bagi memastikan trofi Piala FA menjadi milik TFC,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini