Tumpuan :
Sukan

FUTSAL: KL City gagal halang Selangor MAC 

Selangor MAC mengekalkan rekod bersih dalam MPFL 2023 selepas mengumpul kemenangan ketiga dengan mengatasi KL City – FOTO: FAM / Facebook

SHAH ALAM: Saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) memasuki minggu perlawanan ketiga menyaksikan Juara 2022, Selangor MAC cemerlang meraih kemenangan ketiga berturut-turut.

Rekod bersih skuad bimbingan Edgar Eder Baldsso itu hadir selepas mereka mengenepikan tentangan KL City 6-3 dalam aksi sengit berbalas gol di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.

Adam Syahmi Rosli menjaringkan gol seawal minit pertama buat KL City sebelum kedudukan berubah 1-1 dua minit berselang hasil penyudah Ali Ebrahimi.

Giliran Selangor MAC pula mendahului minit ketujuh hasil gol Matheus Vasconcelos Silva namun sekali lagi pasukan lawan pantas menyamakan keadaan menerusi Reshan Kumar Sivam dua minit berikutnya.

Vasconcelos Silva menjaringkan gol kedua peribadi empat minit selepas rehat disusuli rakan sepasukan Bukhari Samsudin minit ke-25 membolehkan Selangor MAC melebarkan kelebihan 4-2.

Bukhari kemudian tersilap langkah menghadiahkan lawan gol ketiga selepas tertampan bola ke gawang sendiri minit ke-27.

Jaguh Lembah Klang itu menambah dua lagi gol pada baki 10 minit terakhir menyaksikan Vasconcelos Silva melengkapkan hatrik dengan Syahir Iqbal Khan menyumbat gol terakhir perlawanan memastikan kemenangan bergaya 6-3 Selangor MAC yang menduduki carta teratas kumpulan B itu.

Loading...
Terkini