DOHA: Stephanie Frappart dari Perancis mencipta sejarah tersendiri dalam arena bola sepak apabila muncul sebagai wanita pertama mengadili perlawanan Piala Dunia lelaki dalam aksi antara Mexico dan Poland.
Frappart ditugaskan sebagai pegawai keempat perlawanan hari ini dan dia adalah seorang daripada dua lagi wanita yang dipilih sebagai pengadil kejohanan kali ini, selain Yamashita Yomishi (Jepun) dan Salima Mukansanga (Rwanda).
Mereka adalah antara 36 pengadil yang ditugaskan pada kejohanan kali ini di Qatar.
Selain itu, Neuza Back dari Brazil, Karen Diaz Medina (Mexico) dan Kathryn Nesbitt (Amerika Syarikat) adalah antara 69 pembantu pengadil di Piala Dunia kali ini.
Frappart sebelum ini pernah bertugas ketika kelayakan Piala Dunia lelaki dan Liga Juara-Juara.
Dia juga pernah diberi kepercayaan untuk mengadili perlawanan final Piala Dunia wanita 2019 dan juga ketika final Piala Perancis lelaki tahun ini. – BERITA HARIAN