Tumpuan :
Sukan

FORMULA 1: Ikatan 12 tahun berakhir, Hamilton ‘lambai perpisahan’ kepada Malaysia

Lewis Hamilton pada sesi ‘Farewell for the superstar’ di KLCC, hari ini.

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

KUALA LUMPUR: Ikon sukan permotoran Formula 1 yang menjadi kebanggaan negara di mata dunia, Lewis Hamilton akhirnya mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada Malaysia.

Majlis perpisahan ‘Farewell for the superstar’ terhadap jaguh berusia 39 tahun itu berlangsung di ibu negara disaksikan kira-kira 3,000 peminat, hari ini.

Beliau sering kali menyifatkan negara ini ibarat ‘rumah kedua’ sebagai simbolik ikatannya selaku pelumba pasukan Mercedes AMG Petronas, hasil kerjasama dengan syarikat petroleum Malaysia itu.

Tugasan selaku pemandu utama pasukan sejak 2013 kini berakhir selepas 12 musim, menyaksikannya bakal menyertai Ferrari bermula tahun depan.

Hamilton membuat kemunculan istimewa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hampir 45 minit petang tadi yang berlangsung penuh meriah dan beremosi dihadiri penyokongnya sebagai tanda perpisahan.

Juara dunia sebanyak tujuh kali sepanjang 2008 hingga 2020 itu turut meluangkan masa menghadiri acara temu bual eksklusif bersama tiga organisasi media arus perdana di Menara Berkembar Petronas (KLCC).

“Saya sentiasa berterima kasih kepada pasukan dan kepada Petronas kerana membawa saya di sini dan ianya menakjubkan.

“Anda tahu, sambutan yang saya terima di sini sangat mengagumkan, dan juga kerja yang mereka lakukan. Seronok melihat dan menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini