Tumpuan :
Sukan

Footgolf Piala Asia 2024: Tiga skuad berpasukan negara mara ke final

KUALA LUMPUR: Skuad footgolf kebangsaan hanya selangkah lagi untuk bergelar juara Asia apabila tiga pasukan negara dalam saingan kategori lelaki terbuka, lelaki senior dan wanita terbuka mara ke perlawanan akhir Kejohanan Piala Asia 2024 di Desaru, Johor.

Ketiga-tiga pasukan negara ini akan berdepan Jepun bagi penentuan kejuaraan esok dan tentunya peluang merebut trofi di halaman sendiri tidak mahu dipersiakan.

Selaku tuan rumah bagi edisi keempat, pasukan footgolf kebangsaan menampilkan aksi terbaik sejak saingan berpasukan dan individu membuka tirai saingan di Lapangan The Els Club Valley, Desaru Selasa lalu.

Bagi kategori lelaki terbuka, skuad negara mencatat kemenangan bersih dalam semua empat perlawanan awal yang dilalui dengan menewaskan Korea Selatan 6-0, Jepun 5-2, Australia 5-1 dan China 5-3.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad negara mara ke perlawanan akhir selaku juara kumpulan dengan lawan yang bakal ditemui di final adalah Jepun.

Juga beraksi cemerlang adalah pasukan senior lelaki kebangsaan yang turut mara ke final selaku juara kumpulan.

Mereka melalui tiga aksi di peringkat awal dan berjaya merakam kemenangan 4-2 ke atas ketiga-tiga lawan iaitu Jepun, Taiwan dan China.

Dengan tiga kemenangan bersih ini, skuad senior juga selangkah lagi untuk muncul pemenang sekiranya berjaya menafikan cabaran Jepun sekali lagi pada aksi final, esok.

Kecemerlangan dua pasukan lelaki turut menaikkan semangat pasukan wanita negara untuk beraksi mantap sekali gus turut mencecah fasa penentuan pemenang sebagai naib juara peringkat kumpulan.

Mengharungi tiga perlawanan, skuad wanita menang 2-0 ke atas Korea Selatan, namun kemudian akur tewas 1-2 kepada Jepun.

Mujur, kejayaan ke atas Australia dengan keputusan 2-0 disambut penuh kelegaan membolehkan kem negara mencari kejuaraan sulung.

Bagi perebutan trofi skuad wanita negara juga akan menentang Jepun di final, esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini