![](https://media.buletintv3.my/2023/06/hannah-yeoh.jpg)
PUTRAJAYA: KL Sports City (KLSC) bakal menjadi lokasi baharu arena e-Sukan yang akan dibangunkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Bagaimanapun lokasi berkenaan bukanlah di Axiata Arena seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, lokasi yang akan dibangunkan itu bertujuan untuk terus menyokong e-Sukan di Malaysia yang akan memberi fokus kepada pembangunan akar umbi, pasukan wanita dan warga emas.
“Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sedang berusaha untuk menyediakan kemudahan ini, bagi kita masa.
“Namun ia adalah stadium sedia ada yang kita akan bangunkan untuk kegunaan e-Sukan. Bukan bina baru,” katanya.
Tegas Hannah, apa yang diperlukan dari persatuan dan Jabatan Belia Dan Sukan Negeri ialah fokus kejurulatihan dan infrastruktur seperti stadium.
“Ini kerana, hasrat kami untuk membantu membina pasukan wanita dan ada warga emas yang ditubuhkan.
“KBS turut memberi tumpuan kepada pembangunan atlet dari peringkat akar umbi terutama di sekolah bagi menggalakkan lebih ramai kanak-kanak terlibat dalam e-Sukan.
“Kita akan fokus kepada mempromosikan e-Sukan yang sihat dan selamat untuk atlet kita,” katanya.
Sementara itu, Hannah mengumumkan KBS menawarkan tiga Dana Sukan 2025 iaitu Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) dengan sebanyak RM55 juta diperuntukan.
Justeru, KBS menggesa 103 jenis sukan mengambil peluang ini untuk meningkatkan prestasi sukan, membudayakan gaya hidup cergas dalam memacu industri sukan negara.
Bagaimanapun, Hannah menegaskan bermula tahun depan, syarikat tidak lagi dibenarkan untuk memohon GPS bagi memberi ruang kepada persatuan sukan untuk membuat permohonan lebih daripada sekali.
Bagi tahun 2025, jendela permohonan dan pelaksanaan untuk GPS dan DSK yang pertama akan diadakan dari 1 Februari hingga 28 Februari 2025.
Manakala KWASN pula bermula seawal 1 Januari hingga 28 Februari 2025 apabila orang ramai boleh melayari laman web KBS (https://www.kbs.gov.my/utama-kwas) untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai permohonan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.