GLASGOW: Phil Foden, Jude Bellingham dan Harry Kane menemui sasaran bagi menamatkan deretan lima kemenangan Scotland dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Hampden Park, Glasgow.
Namun Bellingham paling menyerlah dengan satu gol dan satu umpanan gol ketika England menewaskan Scotland 3-1.
Kemenangan itu melebarkan rekod tanpa kalah England ke atas Scotland kepada 24 perlawanan.
Perlawanan di Hampden Park itu turut meraikan ulang tahun ke-150 sejak pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan itu.
Tuan rumah menaruh harapan tinggi untuk merakam kemenangan ke atas skuad kendalian Gareth Southgate selepas berjaya menewaskan Sepanyol dan Norway yang diterajui Erling Haaland dalam aksi kelayakan Euro 2024.
Bellingham diberi kepercayaan oleh Southgate untuk mengemudi jentera serangan England selepas pemain tengah Real Madrid itu beraksi cemerlang di awal musim La Liga.
“Peranan itu lebih bebas buat saya. Saya tahu ia bergantung kepada sistem permainan kami dan kami mempunyai ramai pemain hebat di dalam skuad.
“Pasukan adalah keutamaan. Saya sangat suka bermain di posisi itu hari ini,” kata Bellingham.
Southgate menganggap pertemuan ke-116 antara kedua-dua pasukan itu sebagai perseteruan hebat dalam bola sepak.
Sebaik sepak mula, England lebih menguasai permainan dan membuka jaringan menerusi Foden pada minit ke-32.
Bellingham menambah jaringan tiga minit kemudian untuk England mendahului 2-0 sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, pertahanan harapan England, Harry Maguire menjaringkan gol sendiri pada minit ke-67 selepas tertampan hantaran lintang Andy Robertson ke gawang sendiri.
England memastikan kemenangan menerusi Kane yang meledak gol ke-59nya untuk The Three Lions pada minit ke-81. – AGENSI