KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula musim 2024/2025 sudah mendapat pengiktirafan dan kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi pada Isnin lepas.
Perkembangan itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S Sivasundaram sambil menyifatkan ia merupakan satu kebanggaan kepada Malaysia kerana muncul antara 68 negara mendapat pengiktirafan dan kelulusan FIFA untuk menggunakan VAR.
Beliau berkata kelulusan itu diberikan selepas delegasi FIFA Bhaveshan Moorghan dan tenaga pengajar VAR FIFA Igor Rodajcic melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil dan keberkesanan teknologi VAR di Malaysia, bulan lepas.
“Bhaveshan melalui laporannya telah memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil-pengadil VAR di negara.
“Ini sekali gus membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga-M 2024/2025 yang akan bermula 10 Mei ini,” katanya dalam kenyataan FAM hari ini.
Langkah pelaksanaan VAR di Malaysia telah dimulakan pada April tahun lepas dengan lawatan delegasi dari FIFA untuk memberi taklimat mengenai protokol VAR dan prosedur pelaksanaannya.
Seterusnya, FAM telah memulakan latihan pengadil VAR pada Jun 2023 hingga April lepas dengan melalui tiga fasa latihan sebelum FIFA akhirnya mentauliahkan 22 pengadil sebagai pengadil VAR, 20 penolong pengadil sebagai AVAR (Asisstant Video Assistant Referee) dan sembilan pengadil sebagai Replay Operator (RO).
Badan induk itu turut melatih 17 penolong pengadil untuk memahami protokol VAR dan akan dilantik sebagai penolong pengadil satu dan dua.
Sementara itu, Sivasundaram berkata sebagai langkah jangka panjang FAM akan meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran VAR selain membuat post-mortem perlawanan sebagai langkah pengukuhan dan pemurnian pendidikan sistem itu.
“FAM juga akan memulakan latihan VAR fasa kedua untuk menambahkan bilangan pengadil VAR. Usaha ini akan dimulakan dalam masa terdekat,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.
Dalam pada itu, katanya pelaksanaan VAR dalam Liga-M dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pengadil Malaysia dipilih untuk bertugas di peringkat lebih tinggi iaitu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FIFA, selain diharap mampu meningkatkan mutu bola sepak negara.
Sebanyak enam perlawanan percubaan baru-baru ini telah dijalankan oleh FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan pentadbir Liga-M bagi tujuan melihat tahap kemahiran pengadil dan keberkesanan teknologi VAR. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.