LONDON: Enzo Fernandez dilaporkan sudah membuat permohonan maaf kepada rakan sepasukan di Chelsea selepas merakamkan dirinya bersama rakan sepasukan Argentina menyanyikan lagu yang didakwa mempunyai unsur perkauman ketika meraikan kejuaraan Copa America.
Sebelum ini terdapat laporan akhbar yang mendakwa beberapa individu di bilik persalinan The Blues berang dengan rakan sekerja mereka yang menyanyikan lagu kontroversi itu.
Sejurus video berkenaan dimuatnaik, Fernandez dituduh sebagai perkauman oleh rakan sepasukannya dari Perancis, Wesley Fofana disusuli beberapa pemain Blues lain yang kemudian membuat keputusan drastik untuk tidak mengikutinya lagi di media sosial.
Selain daripada permohonan maaf secara terbuka, Fernandez yang berusia 23 tahun itu juga dilaporkan sudah membuat permohonan maaf dalam mesej yang disebarkan kepada seluruh skuad.
Malah Blues juga sudah mengesahkan yang mereka sudah memulakan prosedur disiplin dalaman, dengan langkah pertama mengenalpasti kesahihan video berkenaan.
“Kelab Bolasepak Chelsea mendapati semua bentuk perlakuan diskriminasi sama sekali tidak boleh diterima. Kami berbangga menjadi kelab yang mempunyai kepelbagaian dan inklusif yang semua orang dari pelbagai budaya, komuniti serta identiti sangat dialu-alukan,” kata kelab itu.
“Kami sedar dan menghargai permohonan maaf secara terbuka yang dilakukan pemain kami dan akan menjadikannya sebagai satu peluang didikan. Kelab sudah melakukan satu prosedur disiplin dalaman.”
Hanya masa yang akan menentukan sama ada permohonan maaf Fernandez itu akan meredakan skuad Chelsea terutama rakan sepasukan dari Perancis yang menjadi sasaran lagu kontroversi berkenaan. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa