KUALA LUMPUR: Beregu nombor satu negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meraih gelaran pertama musim ini apabila mengungguli Terbuka India berstatus Super 750 sekali gus membawa pulang AS$70,300 (RM316,797).
Kemenangan ke atas gandingan Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan itu juga secara tidak langsung membalut kekecewaan beregu ranking kedua dunia itu selepas terkandas pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu.
Beraksi di Kompleks Sukan Indira Gandhi, Sze Fei-Izzuddin tenang mengawal permainan apabila menerapkan corak permainan pantas untuk memenangi set pertama 21-15 dalam tempoh 15 minit.
Begitupun, situasi berbeza apabila Won Ho-Seung Jae bangkit di set kedua, mendahului permainan dengan jurang mata yang besar 11-4 sehingga ke pertengahan perlawanan.
Meneruskan baki permainan, Sze Fei-Izzuddin kembali mengejar namun segala-galanya seakan sudah terlewat sebelum tewas 13-21 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Corak permainan kedua-dua gandingan seakan seimbang di set penentuan walaupun Sze Fei-Izzuddin berjaya menjarakkan diri dengan Won Ho-Seung Jae di awal saingan namun gandingan Korea Selatan itu bangkit mengejar kedudukan.
Hanya lima mata memisahkan mereka pada pertengahan permainan sebelum Sze Fei-Izzuddin terus mengutip mata berharga untuk memuktamadkan gelaran juara dengan keputusan 21-16 dalam tempoh masa keseluruhan 53 minit.
Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara meraih gelaran di Terbuka India adalah pada tahun 2010 menerusi gandingan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari.
Legenda perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pula menjadi wakil terakhir Malaysia muncul juara iaitu pada 2014 selepas menewaskan seteru dari China, Chen Long 21-13, 21-17.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.