BOGOR: Malaysia merakam kemenangan dramatik ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan ketiga kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 2023.
Kejayaan itu membolehkan skuad negara mengumpul 7 mata dan mencerahkan semula peluang untuk menduduki tangga dua teratas kempen di Indonesia.
Membawa misi mesti menang berdepan UAE di Stadium Pakansari, gol Muhammad Arami Wafiy Mohamad Zakimi minit ke-45 dan Muhammad Anjasmirza Saharudin minit ke-51 memberikan pasukan kelebihan selesa dengan mendahului 2-0.
Lawan berjaya bangkit mengubah keadaan apabila Saeed Amer Mohammad mengurangkan defisit minit ke-76 disusuli penyudah Abdulaziz Mohamed Almarzooqi minit ke-84 yang menjadikan kedudukan semasa 2 sama.
Usaha anak buah Osmera Omaro hingga ke detik terakhir membuahkan hasil menyaksikan Muhamad Faris Danish Mohd Asrul menyumbat gol kemenangan pada masa kecederaan sekaligus mengecewakan UAE yang mengalami kekalahan kedua selepas 4 perlawanan.
Satu lagi pencabar utama di kumpulan B ialah Indonesia yang akan beraksi di perlawanan ke-3 menentang Palestin malam ini.
Tempat ke pusingan akhir saingan pada tahun depan hanya diperuntukkan kepada 10 juara kumpulan diiringi 6 lagi naib juara terbaik.