comscore
Tumpuan :
Sukan

FAM zahir ucapan terima kasih kepada PM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan peruntukan RM15 juta yang diberikan bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak di negara ini.

Peruntukan itu diumumkan Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2025, hari ini yang mana ia disediakan kepada pasukan Harimau Malaya, skuad bawah 18 (B-18) dan skuad bawah 13 (B-13) tahun.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk itu akan merealisasikan hasrat Perdana Menteri untuk melihat prestasi skuad kebangsaan berada pada tahap terbaik.

“Sudah tentu FAM amat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen daripada Datuk Seri Anwar dalam memberikan peruntukan RM15 juta.

“FAM akan memanfaatkan sebaiknya dana yang disediakan bagi meningkatkan prestasi dan memperkasa skuad kebangsaan.

“Beberapa penambahbaikan akan dilakukan buat skuad kebangsaan sejajar dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, dalam pembentangan Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan peruntukan lebih RM230 juta bagi terus memperhebatkan pembangunan sukan di negara ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan serta RM1 juta untuk pembangunan sukan kriket.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini