KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menafikan ada memohon bantuan daripada Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) untuk mencari satu lagi pasukan di bahagian Asia Selatan bagi melengkapkan kuota perlawanan persabahatan sepanjang tempoh kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), November depan.
Ini kerana setakat ini hanya pasukan kebangsaan India sahaja mengesahkan aksi menentang Harimau Malaya di tempat lawan pada 19 November.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan pihaknya mahu memastikan skuad Harimau Malaya beraksi dua perlawanan persahabatan Tier 1 sepanjang tempoh kalendar FIFA bermula 11 hingga 19 November nanti dalam usaha memperbaiki ranking.
“Kita akan mencari satu lagi pasukan supaya skuad kebangsaan dapat mengharungi dua perlawanan persahabatan pada November ini.
“Satu lagi pasukan akan ditentukan kelak dan pada masa sama, kita juga meminta bantuan Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) untuk mencari satu pasukan di bahagian Asia Selatan.
“Perlawanan persahabatan ini cukup penting dalam usaha memantapkan barisan pemain bagi mengharungi perlawanan Piala ASEAN 2024 pada Disember ini,” katanya.
Harimau Malaya hanya mengharungi satu aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan New Zealand, bulan ini selepas gagal mendapatkan satu lagi pasukan kebangsaan negara lain.
Lebih menyedihkan apabila skuad kendalian Pau Marti Vicente tewas 0-4 kepada New Zealand, sekali gus menyaksikan skuad negara terlepas untuk mengutip mata penting bagi ranking FIFA.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.