KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih memberi kepercayaan kepada E Elavarasan untuk mengemudi skuad bawah 22 (B-22) negara bagi mengharungi dua kejohanan antarabangsa tahun ini.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menjelaskan tiada perubahan dilakukan badan induk bola sepak negara itu terhadap skuad B-22 walaupun tersingkir awal dari Sukan SEA Kemboja, bulan lalu.
Beliau berkata, Elavarasan yang juga penolong jurulatih skuad senior Harimau Malaya akan mengendali skuad B-22 bagi Piala AFF B-23 dan kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada Ogos dan September depan.
Kata, petunjuk indeks prestasi (KPI) diletakkan terhadap Elavarasan untuk memastikan pasukan negara layak ke Piala Asia B-23, tahun depan.
“Kita akan mengharungi dua lagi kejohanan antarabangsa iaitu Piala AFF B-23 2023 pada Ogos dan kelayakan Piala Asia B-23 2024 dengan kedua-dua kejohanan akan berlangsung di Thailand.
“Selepas mesyuarat Exco FAM sebentar tadi, kita mengambil keputusan untuk kekalkan khidmat Elavarasan bagi terus mengemudi pasukan untuk dua kejohanan itu.
“Sasaran yang ditetapkan kepadanya kali ini adalah layak ke pentas Piala Asia B-23 2024,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.
Skuad bimbingan Elavarasan sebelum ini teruk dikecam apabila berdepan detik mengecewakan pada Sukan SEA Kemboja selepas tersingkir di peringkat kumpulan.