KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantung Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) daripada menjadi ahli gabungan badan induk itu.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM dengan penggantungan berkenaan berkuat kuasa sehingga PFA membuat pembayaran penuh seperti yang diarahkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, Saaran Nadarajah menjelaskan hukuman itu diputuskan susulan kegagalan PFA mematuhi arahan dikeluarkan FIFA untuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak yang dituntut bekas Pengarah Bola Sepak PFA, Matt Holland seperti keputusan yang dikeluarkan FIFA pada 4 Disember 2019.
Beliau menjelaskan, Holland membuat aduan selepas PFA gagal menjelaskan bayaran itu dan FIFA seterusnya menerusi surat bertarikh 11 November lalu membuat keputusan terbaharu dengan PFA diarahkan untuk membayar sebanyak RM998,658 kepada Holland dan denda sebanyak CHF15,000 (kira-kira RM75,000).
Katanya, FAM yang dinamakan sebagai responden kedua (kerana gagal memastikan PFA mematuhi keputusan FIFA) dikenakan denda sebanyak CHF5,000 (kira-kira RM25,000).
“Sekiranya tiada pembayaran dibuat PFA, tindakan boleh diambil oleh FIFA terhadap FAM sebagai responden kedua, antaranya sekatan terhadap peruntukan kewangan sebanyak 20 peratus daripada Program FIFA Forward (iaitu geran pembangunan daripada FIFA) sehingga selesai bayaran itu.
“Justeru, keputusan menggantung PFA ini dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM yang dengan jelas menyatakan bahawa Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung ahli terbabit apabila ahli secara serius melanggar obligasi sebagai ahli dan dalam kes ini PFA secara serius melanggar arahan atau keputusan daripada FIFA.
“Penggantungan ini dibuat bagi mengelak FAM dikenakan tindakan lanjut oleh FIFA termasuk FAM perlu membayar semua bayaran yang harus dibayar oleh PFA dan sehingga boleh menyebabkan FAM dipertanggungjawabkan untuk kesemua hutang berkenaan,” katanya.
Selain itu, Saaran menjelaskan mesyuarat berkenaan turut membincangkan berkaitan aduan tatacara pengendalian kongres tahunan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif persatuan itu bagi sesi 2024-2028 yang didakwa tidak dijalankan dengan betul.
“Maka Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM pada 2 Disember 2024 mengarahkan kedua-dua pihak untuk memberikan bukti bagi mengesahkan bahawa aduan yang diterima itu adalah sah dan jawatankuasa berkenaan juga sudah membuat keputusan bahawa aduan itu adalah sah.
“Justeru, Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM memutuskan untuk menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan pada 19 Disember 2024 untuk KAFA menghantar pembelaan dan penjelasan berkenaan aduan berkenaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.