KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan pengendalian sistem video bantuan pengadil (VAR) dan prestasi pengadil dalam Liga Malaysia (Liga M) setakat ini sebagai sangat cemerlang.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan, setakat ini sebanyak 80 perlawanan bagi musim 2024-2025 sudah menggunakan teknologi VAR.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, mengikut garis panduan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), bilangan ‘On-field Review’ (OFR) dan masa tambahan ‘VAR Review’ di Liga M berada pada paras terendah.
“Purata ‘On-field Review’ adalah 0.57 ‘per match’ dan jumlah masa tambahan yang diguna untuk ‘VAR Review’ adalah 2.27m ‘per match’.
“Ini bermakna penggunaan VAR di Liga Malaysia pada ketika ini berada pada landasan yang terbaik seperti mana standard operasi VAR yang ditetapkan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa),” katanya dalam kenyataan.
Sivasundaram memaklumkan setiap program pembangunan pengadil dan pengoperasiannya adalah berasaskan kepada penanda aras yang ditetapkan oleh AFC dan FIFA.
Beliau berkata, pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin menunjukkan prestasi yang cemerlang pada aksi final Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Ogos lalu.
Katanya, Nazmi juga mengadili perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 antara pasukan Korea Utara menentang Qatar di Vientiane, Laos pada 10 September lalu.
“Seterusnya pada 10 Oktober ini, Nazmi juga diamanahkan untuk mengadili perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 antara Australia bertemu China di Adelaide.
“Selain Nazmi, AFC juga melantik Razlan Joffri Ali dan Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah untuk mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan juga Kejuaraan Kelab ASEAN,” katanya.
Selain itu, Sivasundaram mengesahkan FAM dan MFL akan memulakan latihan VAR ‘batch ke-2’ bermula bulan depan dan dijangka akan tamat pada Februari 2025 dengan terdiri daripada pengadil serta penolong pengadil yang muda dan berpotensi.
Beliau berkata, seramai 21 Pengadil akan dilatih sebagai pengadil VAR, 21 penolong pengadil sebagai ‘Assistant Video Assistant Referee’ (AVAR) dan 12 orang dilatih sebagai ‘Replay Operator’ (RO).
“Pada kali ini seramai tiga pengadil wanita akan turut dipanggil menyertai latihan ini. Nurul Ain Izzatty Zainal sebagai pengadil VAR, Nur Akmal Anuar dan Munirah Ha Ali sebagai pengadil AVAR. Ketiga-tiga mereka ini diiktiraf sebagai ‘AFC Women Elite Referee’,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa