Tumpuan :
Sukan

Faisal Halim terima Darjah Kebesaran Ahli daripada Sultan Selangor

Faisal Halim menerima Darjah Kebesaran Ahli – Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, hari ini. – FOTO: Faisal Halim/ Facebook

KLANG: Pemain Selangor FC, Faisal Halim menyifatkan pengurniaan Darjah Kebesaran Ahli – Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) sebagai pembakar semangat untuknya terus bangkit selepas menempuh insiden malang pada Mei lalu.

Faisal berkata, beliau dimaklumkan mengenai penerimaan darjah kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah itu kira-kira dua bulan lalu.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuanku Sultan Selangor. Saya sebenarnya tak tahu dan terkejut.

“Ketika memakaikan pingat pada saya, Tuanku juga berpesan untuk kerja keras..jangan putus asa dan teruskan. Baginda memberi semangat dan saya katakan, Insya Allah Tuanku, terima kasih Tuanku,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-79 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Alam Shah, hari ini.

Faisal antara 94 individu yang dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor pada tahun ini.

Terdahulu, keberangkatan Sultan Sharafuddin ke Balairung Seri Istana Alam Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Mengulas lanjut, Faisal yang juga pemain sayap The Red Giant berkata, kurniaan berkenaan juga adalah doa daripada penyokong, keluarga, kawan-kawan serta pengurusan Selangor FC yang menjaganya dengan baik hingga ke hari ini.

“Apa yang saya ada dan dapat hari ini membuat semangat saya untuk bangkit semula mewakili Selangor itu lebih bertambah pada masa hadapan.

“Ini bukan gelaran untuk saya banggakan tetapi ini adalah untuk semangat diri saya untuk saya kembali semula.

“Saya ingin menjadi Faisal halim yang sebelum ini. Saya tertinggal agak lama tujuh ke lapan bulan, saya harap ini masa untuk saya kembali dengan pasukan serta rakyat Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya berhubung keadaan terkini, Faisal berkata beliau hanya tunggu masa untuk bermain seperti sedia kala.

“Kalau tak main susah..bila dapat main senang nak ‘improve’ keadaan diri. Dari segi pergerakan tiada yang mengganggu.

“Saya terima keadaan saya, ini takdir dan saya kena kuatkan semangat untuk mencari rezeki untuk anak, isteri dan keluarga saya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini