LAS VEGAS: Pemandu Mercedes, George Russell berjaya menyambar petak utama menjelang perlumbaan Grand Prix Las Vegas, manakala nasib berbeza dihadapi juara dunia tiga kali, Max Verstappen apabila meraih petak kelima.
Bagaimanapun, Verstappen mengatasi pencabar utama kejuaraan dunia, Lando Norris dari McLaren, yang menamatkan sesi kelayakan di tempat keenam.
Pemandu kelahiran Belanda berusia 27 tahun itu kini mendahului Norris dengan kelebihan 62 mata, berbaki tiga lagi perlumbaan.
Dia hanya perlu menamatkan perlumbaan di depan Norris, esok untuk muncul pelumba keenam yang memenangi empat gelaran dunia.
Norris pula perlu mengatasi Verstappen dengan kelebihan tiga mata untuk terus menghidupkan peluangnya dalam perebutan kejuaraan.
Apapun segalanya tetap sukar dijangka apabila pemandu Ferrari, Carlos Sainz berada di petak kedua, diikuti Pierre Gasly dari Alpine menduduki petak ketiga.
Seorang lagi pemandu Ferrari, Charles Leclerc meraih petak keempat semasa sesi kelayakan, manakala juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton berada di petak ke-10.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.