comscore
Tumpuan :
Sukan

EURO 2024: Ronaldo berjiwa kental, kini fokus berdepan Perancis

Jurulatih Portugal Martinez berkata sesuatu kepada Ronaldo pada aksi pusingan 16 menentang Slovenia.-Foto Reuters

FRANFURT:  Selepas peminat seluruh dunia menyaksikan air matanya berderai selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan yang hampir mengakibatkan Portugal tersingkir daripada Euro 2024, Ronaldo pantas melupakan insiden itu.

Ronaldo kembali fokus untuk aksi suku akhir berdepan Perancis Sabtu ini.

Sememangnya bekas penggempur Real Madrid yang mencecah usia 39 itu memilki jiwa kental.

Itulah yang diakui pengendali Portugal Roberto Martinez ketika sidang media selepas anak buahnya mengatasi tentangan sengit Slovenia menerusi  penentuan sepakan penalti 3-0 awal pagi tadi

“Selepas gagal menyempurnakan penalti, dia (Ronaldo) kembali sebagai penyepak penalti pertama, dia tetap mahu jadi yang pertama dan menunjukkan kepada kami jalan menuju kejayaan, dia menunjukkan contoh yang baik, kami bangga dengan sikapnya,” kata Martinez.

Pada minit ke-114 masa tambahan Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diselamatkan penjaga gol Slovenia Jan Oblak yang sepatutnya mengesahkan tempat Portugal ke suku akhir.

“Kesedihan pada permulaan, kesudahannya menggembirakan”, kata Ronaldo sebaik wisel penamat.

Bertemu Perancis mengimbas pertemuan kedua-dua pasukan pada final 2016.

Portugal menang 1-0 di Paris yang juga Kejuaraan Eropah pertama mereka dan Ronaldo juga bukanlah wira apabila terpaksa dikeluarkan lebih awal kerana kecederaan.

Pemain kurang dikenali, Eder menjaringkan gol pada masa tambahan untuk mengalahkan Les Bleus.

Tanpa gol di Euro setakat ini, penjaring terbanyak antarabangsa sepanjang zaman dengan 130 gol itu dilihat begitu terdesak untuk meledak gol.

“Saya akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk jersi ini, sama ada saya gagal atau tidak, dan saya akan melakukannya sepanjang hidup saya,” kata Ronaldo kepada saluran televisyen Portugal RTP.

“Saya sudah melakukan perkara ini selama 20 tahun…seperti yang anda lihat saya gagal menyempurnakan penalti, tetapi saya mahu menjadi yang pertama menjaringkan gol.

“Kami perlu mengambil tanggungjawab… anda tidak boleh takut, saya tidak pernah takut untuk menghadapi segala perkara secara berdepan.

“Kadang-kadang saya berjaya dan kadang-kadang tidak, tetapi menyerah kalah adalah sesuatu yang anda tidak akan pernah dengar dikaitkan dengan nama saya,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini