comscore
Tumpuan :
Sukan

EURO 2024: Georgia lakar sejarah

Jaringan awal Kvaratskhelia nyata menyemarakkan semangat Georgia sebelum menundukkan Portugal 2-0. – FOTO: Reuters

GELSENKIRCHEN: Georgia mencipta sejarah hebat dalam arena bola sepak negara itu apabila mara ke peringkat 16 terakhir Euro 2024 selepas mengejutkan Portugal 2-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan F awal pagi tadi.

Jaringan Khvicha Kvaratskhelia seawal minit kedua nyata menyaksikan kebangkitan Georgia  dan penalti Georges Mikautadze minit ke-57 membolehkan Georgia meraih kemenangan gemilang  dalam sejarah negara itu.

Pemain Georgia berpesta dengan penyokong mereka selepas tamat perlawanan yang menyaksikan kekalahan pertama Portugal sejak Piala Dunia 2022.

Pasukan kendalian Willy Sagnol mara daripada Kumpulan F sebagai antara empat pasukan tempat ketiga terbaik dan mereka menempah pertembungan getir dengan Sepanyol pada Ahad ini.

“Kami mencipta sejarah. Tiada siapa percaya kami melakukannya dengan menewaskan Portugal dan ini menunjukkan kami juga pasukan kuat,” kata Kvaratskhelia kepada pemberita.

“Jika anda ada walaupun satu peratus peluang, anda boleh melakukannya jika anda percaya.

Portugal yang sudah pun layak lebih awal ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan menyaksikan jurulatih Roberto Martinez melakukan lapan pertukaran daripada kesebelasan yang menewaskan Turkiye  hujung minggu lalu.

Hanya kapten, Cristiano Ronaldo, Joao Palhinha dan penjaga gol, Diogo Costa kekal dalam kesebelasan utama ketika Portugal mengalahkan Turkiye 3-0.

Martinez turut menggantikan Ronaldo pada pertengahan separuh masa kedua dan mengakui dia banyak melakukan pertukaran untuk fokus aksi pusingan 16 terbaik menentang Slovenia di Frankfurt, awal pagi Selasa ini.

“Kami tidak memandang rendah Georgia tetapi memang benar mereka bermain perlawanan terbesar dalam sejarah mereka,.

“Kami tidak dapat menjaringkan gol yang memberikan Georgia kekuatan dan meningkatkan keyakinan mereka, mereka berhak dengan kemenangan ini.” kata Martinez.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini