comscore
Tumpuan :
Sukan

EURO 2024: England mara ke separuh akhir

Pemain England meraikan kejayaan mereka selepas perlawanan. – FOTO: Reuters

DUSSELDORF: England tewaskan Switzerland 5-3 menerusi penentuan penalti untuk mara ke separuh akhir Euro 2024 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi suku akhir, awal pagi tadi.

Trent Alexander-Arnold menyempurnakan sepakan penalti kemenangan untuk membawa England ke perlawanan empat terbaik untuk bertemu Belanda di Dortmund pada Khamis ini.

“Menakjubkan. Ini adalah sasaran yang kami letakkan dalam diri kami. Sekali lagi bertemu lawan yang sukar, ketinggalan, pasukan menunjukkan banyak karakter, kepercayaan, jiwa dan semangat,” kata Alexander-Arnold.

Bukayo Saka menjaringkan gol penyamaan pada baki 10 minit terakhir permainan sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Lima minit sebelum itu, England tampak hampir tersingkir daripada kejohanan apabila Breel Embolo membuka tirai jaringan perlawanan buat Switzerland.

Kedua-dua pasukan gagal menemui penyudah selepas itu.

Pemain England, Trent Alexander-Arnold meraikan kejayaannya melunaskan sepakan penentuan penalti. – FOTO: Reuters

Selepas Jordan Pickford menafikan sepakan penalti pertama Manuel Akanji, Cole Palmer, Jude Bellingham, Bukayo Saka, Ivan Toney dan Trent Alexander-Arnold berjaya melunaskan sepakan mereka untuk menjamin slot ke separuh akhir.

Biarpun mara, England berdepan satu lagi rentetan persembahan kurang memberangsangkan daripada anak buah Gareth Southgate.

“Kami tahu masih ada dua perlawanan lagi, kami boleh mengubahnya dan mencipta sejarah yang sebelum ini tidak berjaya ditunaikan,” kata Saka yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Untuk rekod, England hanya menang sekali dalam lima perlawanan yang ditentukan menerusi penentuan penalti di Euro sebelum ini, termasuk tewas di tangan Itali di pentas final, tiga tahun lalu.- AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini