Tumpuan :
Sukan

ESPORTS: Yoodo Alliance wakil tunggal negara ke Kejohanan Dunia PUBG

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PETALING JAYA: Arena sukan eletronik negara terus menyajikan khabar cukup gembira minggu ini, kali ini dengan kejayaan pasukan Yoodo Alliance meraih tempat ke Grand Final Kejohanan Dunia Player Unknown Battle Ground PUBG Mobile (PMGC) 2023 yang akan berlangsung di Istanbul, Turkiye Disember ini.

Bagaimanapun, kejayaan Yoodo Alliance yang dibarisi Arif Zaidi (Repoboy), Muhammad Farish Husaini (FlaxOP), Luqman Hakim Hasan (AdikLuq), Mohamad Azli Amran (Oliyo), dan Muhammad Faris Syahmi (Iftar) tidak hadir dengan mudah, terpaksa menempuhi cabaran cukup sukar selepas tidak meraih tiket awal menerusi saingan peringkat kumpulan.

Mara ke peringkat ‘Survival’ selepas menamatkan aksi kumpulan Merah di tempat keenam, 12 pertarungan getir yang dilalui menyaksikan Yoodo Alliance lega menduduki tempat ke 12 menerusi satu kemenangan ‘Ckicken Dinner’ pada pusingan ke 10 di peta Erangel, untuk mengutip 68 mata keseluruhan.

Sekaligus layak untuk beraksi di peringkat ‘Last Chance’ dengan lima slot menjadi rebutan untuk layak ke Kejohanan Dunia.

Mendapat tempat kedua pada pusingan kedua dan ketiga dengan peta Erangel menjadi gelanggang pertarungan, kedudukan Yoodo Alliance sedikit goyah selepas tiga pusingan seterusnya.

Namun, Yoodo Alliance kembali bangkit selepas itu, merakam satu lagi posisi kedua pada pusingan ke 10 sebelum penamat tempat keempat di pusingan terakhir.

Ia menyaksikan Yoodo Alliance berjaya mengumpul 82 mata, lebih sensasi, turut mengisi slot terakhir di peringkat ‘Last Chance’ ini selepas menduduki tempat kelima dari 16 pasukan.

Kejayaan Yoodo Alliance layak ke Kejohanan Dunia PUBG Mobile, PMGC menyaksikan penampilan kedua berturut-turut pasukan selepas penyertaan edisi 2022 di Jakarta, Indonesia.

Bermakna, cabaran getir menanti Yoodo Alliance menjelang saingan Grand Final PMGC yang akan membuka tirai saingannya bermula 8 hingga 10 Disember ini, membabitkan persaingan 16 pasukan terbaik dunia dengan hadiah keseluruhan berjumlah USD3 juta menjadi rebutan.

Loading...
Terkini