comscore
Tumpuan :
Sukan

ESPORTS: TODAK mula dengan langkah kanan di MSC

Pasukan TODAK (FOTO: MLBB)

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PHNOM PENH: Wakil tunggal Malaysia ke Kejuaraan Mobile Legends Bang Bang Asia Tenggara (MSC) 2023, TODAK memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menang aksi pertama dalam kumpulan D dengan menewaskan Team Occupy dari Mesir dengan kemenangan bersih 2-0.

TODAK yang merupakan juara MPL Malaysia musim ke 11 memasang sasaran cukup tinggi pada kempen kali ini dan kemenangan ke atas Juara MPL Mena, Team Occupy memberikan permulaan yang baik buat mereka.

Pada aksi yang menggunakan format ‘best of three’ itu, meta berbeza digunapakai pasukan TODAK dengan pemain utama, Danial Fuad atau Cikugais menggunakan hero Arlott, watak berbeza yang digunakannya berbanding hero ‘marksman’ yang sering digunakannya selaku pemain di ‘gold laner’.

Pasukan TODAK raikan kemenangan (FOTO: MLBB)

Namun, ruang lebih besar diberikan kepada Rival ataupun Muhd Alif Akmal Kamarulzaman selaku ‘jungler’ dengan penggunaan hero Ling untuk melakukan ‘farming’.

Dan nyata strategi itu menjadi dengan Rival merakam sehingga 12 ‘kills’ dan pergeraknnya sukar untuk dikawal Team Occupy.

Berlanjutan sehingga 25 minit, TODAK akhirnya menamatkan permainan untuk memberi kelebihan awal.

Bersambung perlawanan kedua, permainan lebih pantas disajikan TODAK yang nyata garang mengawal gelanggang permainan.

Dan Rival sekali lagi menjadi watak penting buat pasukan TODAK menerusi penggunaan hero Lancelot yang berjaya mencatat 7 ‘kills’ selain tidak dapat dijatuhkan pihak lawan.

Moon sedang beraksi (FOTO: MLBB)

Cubaan Team Occupy untuk kembali mengatur strategi tidak kesampaian selepas tindakan Yums atau Muhd Qayyum Ariffin Suhairi dengan hero ‘Chou’ membuat ‘flanking’ dan menangkap ‘marksman’ lawan iaitu Belal Adel Saleh Sheref Dahab atau Speedy sebelum pertarungan sengit berlangsung antara kedua-dua pasukan.

Dengan Team Occupy kehilangan 4 pemain, kesempatan itu dimanfaat Cikugais yang bertindak pantas memusnahkan kristal lawan untuk mengesahkan kemenangan 2-0 pasukan TODAK.

“Perlawanan tadi memang agak susah tetapi kami dapat jangka strategi yang mereka gunakan.

“Untuk perlawanan seterusnya kita tahu Blacklist Internationals adalah lawan yang kuat, kami pun dah kaji corak permainan mereka, kita akan cuba yang terbaik lawan Blacklist nanti,” kata jurulatih pasukan TODAK, Mohd Farhan Wakiman ataupun Moyy.

Dengan kemenangan yang diraih, TODAK kini menduduki tangga teratas kumpulan D dan lawan sukar menanti wakil Malaysia ini apabila dijadualkan menentang pasukan pilihan dari Filipina, Blacklist Internationals Selasa nanti.

Loading...
Terkini