Oleh Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Pasukan TODAK sekali lagi menampilkan keunggulan mereka apabila mengesahkan gelaran juara MPL Malaysia untuk musim ke 11.
Perlawanan akhir menentang Team SMG, dominasi penuh ditampil TODAK yang garang merakam kemenangan 4-0 pada format grand final ‘best of sevens’.
Game pertama, aksi kemas TODAK sukar untuk dijawab Team SMG yang terpaksa melepaskan permainan hanya dalam tempoh 12 minit.
Penggunaan hero ‘karrie’ oleh Muhd Danial Fuad atau lebih dikenali sebagai ‘cikugais’ selaku ‘marksman’ pasukan TODAK nyata sukar untuk dikawal Team SMG.
Walaupun Team SMG cuba bangkit pada game kedua, pertarungan yang berlangsung hampir setengah jam itu menyaksikan TODAK berjaya membuat ‘comeback’, mendapatkan kemenangan kedua pasukan.
Dan game ketiga, dominasi terus dipamerkan TODAK dan kali ini, kesilapan yang dilakukan Team SMG dimanfaat juara dua kali MPL Malaysia itu dengan bantuan ‘minions’ memudahkan kristal lawan dimusnahkan.
Cuba untuk menyekat kemenangan TODAK, Team SMG bagaimanapun terus berdepan tekanan dengan cikugais menjadi watak cukup penting dengan penggunaan hero ‘karrie’ buat kali keempat berturut-turut sebelum TODAK mengesahkan gelaran juara MPL Malaysia musim ke 11.
Ini adalah kejuaraan kali ketiga TODAK selepas turut menjulang trofi sama pada musim ke 6 dan musim ke 9.
Selaku juara, TODAK turut mengesahkan slot tunggal Malaysia ke saingan MLBB Asia Tenggara, Piala MSC yang akan dilangsungkan di Phnom Penh, Kemboja, Jun nanti.