comscore
Tumpuan :
Sukan

ESPORTS – Team SMG kekal rekod lima kemenangan, TODAK mula mengorak langkah

Team SMG. -FOTO: MPL Malaysia

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT KIARA – Juara MPL Malaysia musim kelapan, Team SMG muncul satu-satunya pasukan yang berjaya mengekalkan rekod lima kemenangan berturut-turut sebaik tamat aksi minggu ketiga MPL Malaysia musim ke 11.

Bermain dua perlawanan minggu ini, SMG terus mengekalkan momentum kemenangan mereka apabila memulakan saingan minggu ketiga dengan mengatasi Team Secret menerusi kemenangan 2-0 pada hari Jumaat.

Dan semalam, SMG meneruskan rentak kemenangan mereka, kali ini menumpaskan RED Esports juga menerusi kemenangan 2-0.

Team SMG mengambil alih kedudukan teratas carta pasukan dari pasukan Homebois yang mengalami kejutan, tewas buat kali pertama kepada Team Lunatix ketika Mohd Faris Zakaria (Soloz) membuat penampilan sulung bersama pasukan.

Homebois yang menjadi antara pasukan pilihan musim ini terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 selepas Team Lunatix bangkit dari kekalahan pertama untuk menang dua perlawanan berikutnya.

Homebois kini menduduki tangga kedua, mengumpul 13 mata, sementara Team SMG ceria mengutip 14 mata hasil lima kemenangan berturut-turut.

Sementara itu, satu lagi pasukan pilihan, TODAK turut mengekalkan momentum kemenangan selepas kekalahan kepada Team SMG pada aksi pembukaan musim 11 Mac lalu.

TODAK menghuni tangga ketiga selepas mengumpul 11 mata dan dijangka tidak berdepan masalah untuk memenangi dua perlawanan seterusnya minggu depan menentang Madness Esports dan juga Team Secret.

Dan tumpuan minggu keempat nanti pastinya terarah kepada pertemuan dua pasukan teratas, Team SMG yang akan turun menentang Homebois 1 April nanti.

Loading...
Terkini