Tumpuan :
Sukan

ESPORTS: Team SMG jumpa TODAK di Grand Final MPL Malaysia

Team SMG (foto: MPL Malaysia)

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Team SMG berjaya menempah tiket ke Grand Final MPL Malaysia musim ke 11 selepas menewaskan pasukan HomeBois pada perlawanan akhir ‘lower bracket’ dengan kemenangan 3-2.

Pada perlawanan yang menggunakan format ‘best of five’ itu, aksi sengit disajikan kedua-dua pasukan dengan Homebois bermula baik selepas memenangi pusingan pertama.

Bagaimanapun, kebangkitan berjaya dilakukan Team SMG pada ‘game’ kedua, pantas menamatkan aksi hanya dalam tempoh kurang 15 minit untuk mengikat kedudukan satu sama.

Memasuki pusingan ketiga, pertarungan sengit disajikan kedua-dua pasukan apabila dipaksa bermain lebih 20 minit sebelum Homebois kembali meraih kelebihan dengan kemenangan kedua.

Aksi sama berulang lagi pada game keempat, kali ini kemenangan memihak Team SMG memaksa pemenang ditentukan menerusi pusingan kelima.

Saling berbalas serang, Homebois pada satu ketika hampir berjaya memusnahkan kristal Team SMG, namun, kesilapan yang dilakukan mereka mula membuka ruang untuk Team SMG kembali bangkit.

Bermula dengan gerakan solo ‘Smooth’ atau Aeliff Adam Md Ariff yang menggunakan hero ‘Benedetta’, kubu Homebois terus ditekan sebelum kehadiran ‘lord’ membuka ruang luas untuk Team SMG.

Dan kelebihan itu dimanfaat Team SMG yang memberi fokus kepada kristal Homebois sebelum kemenangan 3-2 akhirnya menjadi milik mereka.

Team SMG melangkah ke peringkat Grand Final dan akan bertemu dengan pasukan TODAK yang telah pun mengesahkan tiket lebih awal selepas memenangi final ‘upper bracket’.

Dan secara tidak langsung membuka ruang luas buat TODAK untuk membalas kekecewaan musim ke 8 dua tahun lalu apabila mereka dikecewakan oleh Team SMG di Grand Final.

Perlawanan akhir akan berlangsung jam 3 petang esok di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Loading...
Terkini