comscore
Tumpuan :
Sukan

ESPORTS – Selangor Red Giants tampil rekod bersih dua kemenangan

Foto MPL Malaysia

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PETALING JAYA: Selangor Red Giants (SRG) tampil dengan rekod bersih dengan dua kemenangan berturut-turut pada minggu pertama Liga Professional Mobile Legends Bang Bang, MPL Malaysia musim ke 12 semalam.

SRG yang memulakan kempen berdepan Team Lunatix jelas turun dengan misi untuk merampas kejuaraan apabila gah merakam kemenangan 2-0.

Foto MPL Malaysia

Dan persembahan SRG semakin baik pada perlawanan kedua apabila sekali lagi meraih kemenangan 2-0, kali ini menundukkan pasukan Red Esports yang terus berdepan kesukaran selepas tewas dua perlawanan berturut-turut.

Penampilan dua import SRG dari Filipina, Archie ‘Pancake’ Guevarra dan juga Jon ‘Super Red’ Bordeos nyata memberikan begitu banyak kelebihan buat pasukan ini untuk mengungguli carta kedudukan pasukan di tangga teratas dengan 4 kemenangan tanpa balas membolehkan 6 mata dikumpul mereka.

Dalam pada itu, tumpuan turut terarah kepada penampilan juara bertahan, TODAK yang turun tanpa kelibat Zikry ‘Moon’ Shamsuddin yang telah mengumumkan untuk berehat sementara musim ini.

Tempatnya digantikan oleh Ammar ‘Martzy’ Asyraf Abdul Rahman selaku ‘mid laner’ yang menggunakan hero ‘mage’ bagi pasukan TODAK.

Dan nyata tugasan itu bermula dengan agak berat buat TODAK yang terpaksa menanggung kekalahan pada aksi pembukaan, tewas kepada Team SMG menerusi keputusan 1-2.

Perlawanan kedua menentang Team Secret, kebangkitan akhirnya dipamerkan TODAK yang berjaya merakam kemenangan 2-0, bagai laungan amaran mereka sedia untuk kembali dengan persembahan lebih mantap.

Dalam pada itu, penganjuran MPL Malaysia musim ke 12 kali ini jelas mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada peminat-peminat permainan MLBB ini.

Foto MPL Malaysia

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, minggu pertama saingan musim ke 12 menyaksikan seramai 2,900 penyokong hadir ke Dewan Sri Putra di Bukit Jalil, peningkatan sehingga 60% berbanding minggu pertama musim ke 11.

Tamat 8 perlawanan sepanjang tiga hari saingan untuk minggu pertama, SRG unggul dengan 6 mata, diikuti pasukan HomeBois dengan 5 mata, berkongsi kedudukan dengan Team HAQ yang mengumpul jumlah mata sama, sementara TODAK di tangga keempat dengan 4 mata.

Foto MPL Malaysia

Minggu kedua bermula Jumaat ini, persaingan menarik terus dinanti dengan SRG terus jadi tumpuan apabila dijadualkan menentang Team Secret pada hari pertama, sebelum bertemu dengan MPX NSEA pada hari Sabtu.

Loading...
Terkini