Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
PETALING JAYA : Juara MPL Malaysia, HomeBois mulakan kempen Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang, MLBB M5 dengan langkah kanan selepas merakam kemenangan pada penampilan sulung di peringkat tertinggi dunia itu.
Berdepan wakil Indonesia, Geek Fam ID, kemenangan 2-0 berjaya dirakam pasukan yang menjadi harapan Malaysia ini untuk menyerlah pada kempen M5 kali ini.
Bagaimanapun aksi sengit terpaksa ditempuhi HomeBois yang dibarisi Muhammad Irfan Aujang (Sepat), Muhammad Nazhan Mohd Nor (Chibi) Muhammad Zul Hisham Mohd Noor (Xorn), Rizky Agustian (Warlord) dan Wahyu Saputra (Raizel) pada perlawanan pertama selepas Geek Fam tampil dengan dominasi di awal permainan.
Namun, momentum mula diraih HomeBois apabila bantuan ‘lord’ membuka ruang buat mereka masuk ke kawasan Geek Fam sebelum kristal lawan berjaya dimusnahkan, menamatkan pertarungan yang berlangsung hampir 28 minit.
Bersambung perlawanan kedua, aksi lebih kemas disajikan HomeBois walaupun Geek Fam turun dengan misi mesti menang untuk mengheret permainan ke perlawanan ketiga.
Bagaimanapun, ianya tidak berlaku seperti yang diharapkan pasukan dari Indonesia itu apabila HomeBois menutup aksi dengan satu lagi kemenangan, hanya mengambil masa kurang daripada 19 minit untuk menamatkan permainan.
Perlawanan seterusnya dalam Kumpulan D, Homebois dijadualkan bertemu dengan wakil Rusia, Deus Vult pada aksi yang dijadualkan berlangsung 6 Disember nanti.
Dalam pada itu, harapan untuk menyaksikan kemenangan turut diraih satu lagi pasukan negara, Team SMG, dibarisi Lu Khai Bean (Sasa), Aeliff Adam Md Ariff (Smooth), Hazziq Danish Mohamad Ruzwan (Stormie), Kenneth Fedelin (Saxa) dan Deomark Tabangay (Mikko) tidak kesampaian selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada pasukan dari Turkiye, Fire Flux Esports.
Aksi tangkas Sidar Mentese (Tienzy) yang menggunakan hero ‘Baxia’ seringkali mengganggu pergerakan Team SMG pada perlawanan pertama.
Dan selepas bertarung hampir 24 minit, Team SMG terpaksa mengalah selepas kristal pasukan berjaya dimusnahkan pasukan Fire Flux.
Team SMG cuba untuk bangkit pada perlawanan kedua dengan Sasa beraksi baik menggunakan hero ‘Beatrix’ menerusi 8 ‘kills’ yang dilakukannya.
Namun, Baris Ali Cakir (Alien) yang menggunakan hero ‘Lapu-Lapu’ berjaya mematikan banyak gerakan yang cuba dilakukan Team SMG.
Dan kali ini, tempoh mata 26 minit diambil Fire Flux untuk menutup aksi dengan kemenangan 2-0, mengecewakan pasukan Team SMG.
Bagaimanapun, peluang Team SMG belum tertutup, tetapi perlu menang baki dua perlawanan seterusnya menentang Blacklist International (4 Disember) dan RRQ Akira (6 Disember) sekiranya mahu melayakkan diri ke peringkat kalah mati.