Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Saingan Liga Professional Malaysia Mobile Legends: Bang Bang (MPL MY) musim ke 12 bakal menyaksikan pertarungan 10 pasukan utama bagi merebut kejuaraan selain satu slot automatik ke Kejuaraan Dunia M5 yang akan berlangsung di Filipina Disember nanti.
Ia menyaksikan pengurangan satu slot bagi Malaysia berbanding saingan M4 yang berlanagsung di Jakarta, Indonesia Januari lalu di mana Team Haq dan TODAK menjadi wakil negara selaku juara dan naib juara saingan MPL MY musim 10.
Ia berikutan pertambahan negara yang mengambil bahagian dalam permainan MLBB ini dengan pemberian satu slot automatik kepada Malaysia telah pun dipraktikkan pada saingan Kejuaraan Piala Asia Tenggara (MSC) yang berlangsung di Kemboja Jun lalu.
Malaysia ketika itu hanya diwakili pasukan TODAK selaku juara MPL MY musim ke 11.
Bagaimanapun, ada sedikit perubahan dilakukan penganjur iaitu Moonton apabila Malaysia kekal mendapat satu tiket automatik ke M5 yang akan diberikan kepada juara MPL MY musim ke 12.
Sementara naib juara pula berpeluang untuk ke Filipina, namun, perlu bermain dalam satu kejohanan lain iaitu ‘M5 Wild Card’ yang menawarkan dua tiket tambahan ke M5.
Pada saingan peringkat ‘wild card’ itu nanti, sebanyak lapan pasukan akan beraksi, antaranya termasuklah juara MLBB Battle Championship dari Asia Selatan, India dan Nepal, juara Mekong Qualifier dari Vietnam, Laos, Brunei dan Thailand selain naib juara MPL MY musim 12.
Dan lebih menarik, Malaysia turut dipilih sebagai tuan rumah bagi saingan M5 Wild Card ini yang dijadualkan berlangsung pada bulan November.
“Malaysia pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa kejohanan MLBB peringkat antarabangsa, ia termasuklah MSC 2022 dan juga kejuaraan dunia sulung, M1, dan Malaysia kini turut memiliki ramai pemain berwibawa yang mempunyai kemampuan untuk berada di kedudukan tertinggi dunia,” kata Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MPL Malaysia.
“Kami sangat berkeyakinan tinggi untuk sekali lagi memberikan pengalaman terbaik e-sukan terutamanya kepada peminat tempatan selain memberikan sambutan terbaik kepada pemain luar pada saingan M5 Wild Card nanti,” katanya lagi.
Dalam pada itu, persaingan MPL MY musim ke 12 dijangka akan berlangsung sengit selepas beberapa perubahan dibuat pada permainan MLBB.
Tidak ketinggalan, beberapa penambahbaikkan yang turut dilakukan kesemua 10 pasukan bertanding yang akan menyaksikan lebih ramai pemain terbaik dalam dan luar negara bersaing pada kempen kali ini.
10 pasukan yang akan bertarung sepanjang 6 minggu bagi peringkat ‘regular season’ adalah TODAK, Team SMG, Red Giants Esports, Team HAQ, RSG Slate MY, Red Esports, Team Lunatix, Homebois, MPX NSEA dan Team Secret.
Saingan akan membuka tirai pada 18 Ogos hingga 24 September untuk saingan ‘regular season’, manakala saingan playoff pula dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 8 Oktober.
Saingan membabitkan satu kumpulan sahaja dengan format ‘best of 3’ dan 4 pasukan terbaik akan mara ke bahagian ‘upper bracket’ peringkat playoff, sementara pasukan di kedudukan 5 hingga 8 akan bermain di pusingan ‘play-in’ sebelum melayakkan diri untuk mengisi dua slot suku akhir ‘upper bracket’.
Saingan MPL MY musim ke 12 akan dilangsungkan di Dewan Sri Putra di Bukit Jalil.