comscore
Tumpuan :
Sukan

Eropah jadi pilihan skuad hoki remaja kebangsaan buat persiapan

Oleh : Al Shaiful Nazib Talib

PETALING JAYA : Eropah menjadi destinasi pilihan skuad hoki remaja kebangsaan sebagai venue persiapan pasukan menjelang kempen FIH Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 yang akan berlangsung Disember nanti.

Mereka dijadualkan berlepas malam ini dengan pengendali, Muhammad Amin Rahim menyenaraikan seramai 22 pemain untuk mengikuti Siri Jelajah Eropah ini.

“Tujuan utama Siri Jelajah Persahabatan ini diatur adalah bagi membantu pemain bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan penting hujung tahun ini dan dalam Siri Jelajah ini juga kami barisan kejurulatihan ingin melihat kombinasi para pemain beraksi dengan pasukan di Eropah.

“Bagaimana keputusan pantas yang boleh dilakukan oleh pemain di atas padang dan kami juga akan menerapkan beberapa taktikal baru, jadi ini medan terbaik untuk menguji taktikal tersebut selain melihat bagaimana pemain boleh mengadaptasinya.

“Pasukan telah menghabiskan lapan minggu fasa latihan fizikal dan tentunya Siri Persahabatan ini akan digunakan oleh kami untuk menilai sejauh mana tahap prestasi pemain ketika ini.

“Harapan saya agar pemain menggunakan peluang yang diberikan ini untuk beraksi menentang pasukan Eropah dengan sebaik mungkin. Saya juga berharap keyakinan para pemain akan semakin meningkat selepas beraksi dalam perlawanan yang diaturkan untuk mereka.

“Ini penting agar pemain mempunyai tahap keyakinan yang tinggi untuk beraksi dengan mana-mana pasukan sama ada Asia atau Eropah terutamanya menjelang dua kejohanan besar yang mendatang iaitu Kejohanan Piala Sultan Johor 2023 dan FIH Hoki Piala Dunia Remaja 2023, Kuala Lumpur,” jelas Amin.

Tiga negara menjadi pilihan skuad remaja kebangsaan dengan Siri Jelajah Eropah akan bermula dengan dua perlawanan menentang pasukan remaja Jerman di Dusseldorf HC pada 24 dan 25 Ogos.

Ia disusuli dengan dua aksi menentang skuad remaja Perancis pada 30 dan 31 Ogos di Le CREPS High Performance Center, Chàtenay-Malabry.

Sebelum bertandang ke Bisham Abbey National Sports Centre berdepan skuad remaja Great Britain, bermain dua perlawanan pada 5 September.

Dan berikut, senarai 22 pemain yang terpilih untuk menyertai Siri Jelajah Eropah.

Loading...
Terkini