Tumpuan :
Sukan

EPL: Seri dengan Liverpool, United menjauhi zon penyingkiran

Penyerang Liverpool, Cody Gakpo (tengah) menjaringkan gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United di Anfield, Liverpool. – FOTO: Reuters

LIVERPOOL: Manchester United bangkit daripada kekalahan empat perlawanan berturut-turut untuk mencatat keputusan seri mendebarkan 2-2 menentang Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi.

Dengan pungutan satu mata, Liverpool kini berada enam mata di hadapan Arsenal di tangga kedua dengan kelebihan satu perlawanan di tangan.

Namun, keputusan ini dianggap peluang yang terlepas buat anak buah Arne Slot selepas mereka bangkit daripada ketinggalan untuk mendahului 2-1 melalui jaringan Cody Gakpo dan penalti Mohamed Salah.

United pula memecahkan kemarau jaringan di Anfield yang berlarutan selama enam tahun apabila Lisandro Martinez menjaringkan gol pembukaan sebelum Amad Diallo menyamakan kedudukan pada minit ke-80.

Keputusan seri itu melonjakkan United ke tangga ke-13 liga, tujuh mata daripada zon penyingkiran.

Walaupun masih berada di kedudukan yang kurang memuaskan, persembahan ini memberikan harapan baharu untuk skuad Ruben Amorim yang sebelum ini dianggap berada dalam krisis.

Sebelum perlawanan, Slot, memberi amaran bahawa United lebih baik daripada kedudukan liga mereka yang mengecewakan.

Pengendali Liverpool, Arne Slot mempertahankan persembahan pemain pertahanan, Trent Alexander-Arnold yang dikatakan beraksi dibawah kemampuan sebenar pada perlawanan menentang MU awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

Kembalinya Bruno Fernandes dan Manuel Ugarte daripada penggantungan memberikan dimensi baharu kepada permainan United.

Pada awal perlawanan itu, Gakpo hampir meletakkan Liverpool di depan, tetapi percubaannya sedikit tersasar.

Tidak lama selepas itu, Salah membuka peluang kepada Alexis Mac Allister dengan hantaran cantik, tetapi rembatan padu pemain Argentina itu berjaya ditepis Andre Onana.

United mengambil masa untuk menemui rentak mereka untuk melakukan ancaman serangan.

Gol pembukaan United hadir daripada Martinez, yang menunjukkan sentuhan klinikal menerusi rembatan deras ke dalam gawang.

Namun, Liverpool tidak mengambil masa lama untuk membalas apabila Gakpo menyamakan kedudukan dengan gol yang memukau, sebelum Salah menjadikan kedudukan 2-1 menerusi penalti selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan bola terkena tangan Matthijs de Ligt.

Liverpool tampak yakin untuk meraih tiga mata, tetapi semangat juang United membuahkan hasil.

Alejandro Garnacho, yang sebelum ini dikritik pengurusnya, masuk sebagai pemain gantian dan mencipta gol penyamaan apabila hantaran rendahnya disudahkan Diallo.

United hampir mencuri kemenangan pada masa kecederaan apabila Harry Maguire gagal menyempurnakan peluang daripada hantaran Joshua Zirkzee.

Keputusan ini bukan sahaja menghentikan rentetan kekalahan United, tetapi juga memberi harapan kepada Amorim untuk membina semula keyakinan pasukannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini