Tumpuan :
Sukan

EPL: Salah bantu Liverpool benam Spurs 6-3

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah (kiri) menjaringkan gol keempat pasukannya ketika menentang Tottenham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London, awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

LONDON: Liverpool menjarakkan diri empat mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Mohamed Salah cemerlang mengemudi kemenangan besar 6-3 ke atas Tottenham awal pagi tadi.

Salah memperagakan persembahan terpuji menampilkan dua gol dan dua umpanan gol ketika anak buah Arne Slot berpesta gol di utara London.

Liverpool mengambil kesempatan selepas pasukan tangga kedua Chelsea seri 0-0 di Everton lewat malam tadi untuk mengukuhkan status mereka sebagai calon hangat kejuaraan menuju ke tempoh Krismas.

Pasukan tuan rumah tidak menemui jawapan terhadap kehebatan Liverpool menekan dan melakukan hantaran serta gerakan, dengan bintang Mesir, Salah mengemudi serangan berbahaya mereka.

Ia satu persembahan mengagumkan kekuatan Liverpool ketika Luis Diaz dan Alexis Mac Allister menyumbat gol untuk membolehkan mereka mendahului.

Dominik Szoboszlai meraih gol ketiga Liverpool sejurus sebelum rehat dan Salah mengambil alih dengan dua gol selepas rehat sebelum Diaz meledak sekali lagi.

Gol-gol Tottenham disumbang James Maddison, Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke.

Dihukum kerana pengurus Ange Postecoglou mengekalkan prinsipnya dengan benteng pertahanan beraksi agak ke atas, ia kali pertama dalam tempoh 10 tahun Tottenham melepaskan lima gol atau lebih dalam aksi EPL.

Setakat ini, The Reds menang 21 daripada 25 perlawanan bagi semua pertandingan di bawah kendalian Slot dan beraksi kurang satu perlawanan berbanding Chelsea untuk mengukuhkan pendahuluan mereka dalam perebutan kejuaraan.

Manakala kekalahan kelapan dalam liga musim ini menyaksikan Tottenham terdampar di tangga ke-11 ketika tekanan semakin memuncak buat Postecoglou. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini