
MANCHESTER: Pemain baharu Manchester City, Omar Marmoush meledak hatrik dalam tempoh 13 minit di babak pertama ketika kemenangan 4-0 ke atas Newcastle United.
James McAtee menambah jaringan buat skuad kendalian Pep Guardiola yang kini melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 44 mata selepas kemenangan terbesar mereka di Stadium Etihad musim ini.
Newcastle tergelincir ke tangga ketujuh pada 41 mata.
“Cara kami bermain, mengingatkan kami kepada apa yang pernah kami lakukan dan tidak dilakukan musim ini.
“Kami sentiasa mencuba, tetapi ada masa gagal melakukannya. Kami perlu menang perlawanan sebegini untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah. Kami perlu persembahan begini untuk menggembirakan penyokong kami,” kata Guardiola.
Marmoush, 26, membuka jaringan pada minit ke-19 bermula dengan hantaran jauh penjaga gol City, Ederson yang gagal dibaca pertahanan Newcastle, Kieran Trippier dan pemain Mesir itu melambung bola melepasi penjaga gol pelawat, Martin Dubravka.
Marmoush menambah jaringan lima minit kemudian selepas mendapat hantaran Ilkay Gundogan dan melepaskan rembatan leret yang terkena Trippier sebelum menerjah jaring.
Penyerang itu melengkapkan hatrik pada minit ke-33 selepas mendapat umpanan Savinho.
“Hari yang menakjubkan, perasaannya luar biasa. Tiga mata ini, kami mula mengasak dari minit pertama dan menyempurnakannya. Segalanya pantas dan saya sangat gembir dapat membantu pasukan,” kata Marmoush.
McAtee menambah jaringan pada minit ke-84, sembilan minit selepas dimasukkan, selepas mendapat umpanan Erling Haaland.
Newcastle belum pernah mengatasi City dalam aksi liga sejak kemenangan 2-1 pada Januari 2019, dan tidak pernah memenangi perlawanan liga di Etihad.
“Ia perlawanan yang sukar, mereka masih pasukan yang cukup kuat untuk dihadapi. Kami tidak berada pada tahap terbaik hari ini. Mereka tidak mempunyai banyak peluang, tetapi melakukan apa yang perlu dilakukan,” kata pengendali Newcastle, Eddie Howe. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.