IPSWICH: Crystal Palace menang 1-0 di Ipswich Town dengan Jean-Philippe Mateta menghukum kesilapan pemain pertahanan lawan untuk menjaringkan gol kemenangan sejurus sebelum sejam pada aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Penyerang Perancis itu memecah kebuntuan pada minit ke-59, ketika pemain Ipswich, Jacob Greaves tergelincir sebelum melambungkan bola melepasi penjaga gol Arijanet Muric.
Palace di tangga ke-16 dalam carta dengan 12 mata, manakala Ipswich di tangga kedua tercorot dengan sembilan mata.
Ia kemenangan pertama di gelanggang lawan buat Palace dalam kempen liga, manakala tuan rumah masih menanti kemenangan pertama di Portman Road sejak berjaya naik divisyen.
Ketika babak pertama yang agak hambar menuju penghujung, Palace mula menguasai bola, menekan Ipswich dalam perlawanan yang sebenarnya agak seimbang.
Pemain Palace, Eberechi Eze hampir membuka tirai jaringan sejurus sebelum rehat, meluru masuk ke dalam kotak penalti tetapi rembatannya ditampan dengan kaki oleh Muric.
Tuan rumah mencipta peluang beberapa minit kemudian apabila Jack Clarke menyambut satu sepakan sudut dekat dengan tiang gol, tetapi penjaga gol Palace, Dean Henderson menumbuk keluar tandukannya.
Ipswich mencetus tekanan selepas gol Mateta dan hampir menyamakan kedudukan pada minit terakhir apabila tandukan Greaves terkena palang, dengan tiada pemain tuan rumah berada berdekatan untuk menampan masuk bola muntah. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.