BRIGHTON: Pep Guardiola mengakui Manchester City yang dibelenggu kecederaan tidak mampu beraksi 90 minit selepas Brighton menewaskan mereka 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ia adalah kekalahan keempat berturut-turut pengendali dari Sepanyol itu – kali pertama ia berlaku sepanjang kariernya sebagai jurulatih.
Dengan hanya 12 minit berbaki aksi di Stadium Amex, anak buah Guardiola masih mendahului permainan selepas Erling Haaland membuka jaringan di babak pertama.
Namun juara bertahan EPL itu tumbang di minit-minit akhir apabila Joao Pedro menyamakan kedudukan sebelum Matt O’Riley meledak gol kemenangan tujuh minit sebelum tamat.
Buat pertama kali dalam karier gemilangnya sebagai pengendali City, Bayern Munich dan Barcelona, Guardiola ditewaskan empat kali berturut-turut.
Ia juga kali pertama buat City tewas empat perlawanan berturut-turut sejak Ogos 2006, ketika di bawah kendalian Stuart Pearce.
“Hari ini kami bermain sangat baik di babak pertama tetapi tidak berjaya mengukuhkan kedudukan.
“Kami tidak konsisten dalam mengekalkan permainan kami dan terus memberi tekanan serta agresif untuk tempoh 90 minit.
“Tahap permainan kami sangat bagus dalam beberapa keadaan tetapi kami tidak mampu mengekalkannya untuk tempoh yang lama.
“Saya pasti apabila pemain-pemain kembali (selepas rehat perlawanan antarabangsa), kami akan bertambah baik,” kata Guardiola.
Selepas tersingkir daripada Piala Liga di tangan Tottenham dan mengharungi kekalahan liga pertama sejak Disember di Bournemouth, City dibelasah 4-1 oleh Sporting Lisbon dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Kekalahan diteruskan dengan kegagalan mereka menambah jaringan ke atas Brighton, sekali gus menjejaskan misi memburu kejuaraan EPL kelima berturut-turut.
City kini di tangga kedua, lima mata di belakang Liverpool yang menewaskan Aston Villa 2-0 di Anfield – beberapa jam selepas kekalahan juara bertahan itu.
Masalah kecederaan menghantui skuad kendalian Guardiola dengan Manuel Akanji dan Nathan Ake hanya cergas untuk berada di bangku simpanan, memberikan peluang buat pemain 19 tahun, Jahmai Simpson-Pusey memulakan permainan buat pertama kali sebagai bek tengah.
Guardiola sedar peluang City untuk terus mendominasi liga kini semakin jauh dan dia berkata: “Empat kekalahan berturut-turut. Kami perlu mengubahnya dengan cepat.
“Mungkin selepas tujuh tahun memenangi enam trofi EPL, mungkin setahun pasukan lain berhak mendapatkannya.” – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.