Tumpuan :
Sukan

EPL: Liverpool perkukuh kedudukan di tangga teratas liga

Bintang Liverpool, Mohamed Salah (kiri) meraikan kemenangan 3-1 ke atas Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

LIVERPOOL, England: Liverpool terus menjarakkan diri dengan tujuh mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika pasukan pilihan juara itu terselamat daripada ancaman awal sebelum menang 3-1 berdepan kelab bergelut, Leicester awal pagi tadi.

Bagaimanapun pasukan kendalian Arne Slot itu dikejutkan dengan gol awal Jordan Ayew pada minit keenam di Anfield, sebelum pendahulu liga itu bangkit untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama menerusi Cody Gakpo.

Pemain tengah England, Curtis Jones meraikan penampilan ke-100 dalam liga utama dengan gol kedua empat minit selepas rehat.

Mohamed Salah kemudian meledak pada minit ke-82 menyaksikannya mengumpul 16 gol sekali gus melengkapkan kemenangan ke-13 Liverpool dalam 17 perlawanan EPL musim ini.

Kebangkitan Liverpool melonjakkan mereka tujuh mata di depan pasukan tangga kedua Chelsea, yang terdahulu tumpas 2-1 di tangan Fulham.

The Reds, yang beraksi kurang satu perlawanan berbanding Chelsea, hanya kalah sekali dalam 17 perlawanan liga musim ini.

Mereka menang 22 daripada 26 perlawanan bagi semua pertandingan dalam catatan mengagumkan sejak Slot tiba dari Feyenoord pada hujung musim untuk menggantikan Jurgen Klopp.

Klopp mengemudi kejayaan terakhir Liverpool menjuarai EPL pada tahun 2020 dan Slot meletakkan mereka di kedudukan sempurna untuk menyamai pencapaian itu pada babak kedua musim.

Turut layak ke separuh akhir Piala Liga dan mengungguli carta Liga Juara-Juara, Liverpool, yang akan bertandang ke West Ham bagi perlawanan terakhir mereka tahun ini pada Ahad, akan melangkah ke tahun 2025 dengan peluang merebut empat kejuaraan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini