Tumpuan :
Sukan

EPL: Kapten West Ham direhatkan kerana kaki retak

Pemain West Ham, Jarrod Bowen (kiri) bersaing dengan pemain Liverpool, Alexis Mac Allister pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium London, Ahad lalu. – FOTO: Reuters

LONDON: Kapten West Ham, Jarrod Bowen terpaksa diketepikan buat beberapa minggu selepas mengalami retak kaki ketika kekalahan di tangan Liverpool hujung minggu lalu.

Penyerang England, Bowen terhincut-hincut susulan kecederaan pada babak kedua ketika tumbang 5-0 di tangan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu Ahad lalu di Stadium London.

“West Ham United mengesahkan Jarrod Bowen mengalami kecederaan retak kaki ketika aksi EPL lalu menentang Liverpool,” menurut satu kenyataan West Ham semalam.

“Kecederaan di kaki kirinya, yang dialami pada babak pertama di Stadium London, memaksa kapten The Hammers diketepikan menjelang Tahun Baharu.”

Bowen salah seorang pemain harapan West Ham sepanjang musim mereka yang bergelut di bawah kendalian bos baharu Julen Lopetegui.

Pemain berusia 28 tahun itu, yang menyumbat enam gol dalam semua pertandingan musim ini, mendedahkan dia mengalami kecederaan itu pada babak pertama, tetapi cuba untuk terus bermain selepas rehat.

“Malangnya pada babak pertama perlawanan kami Ahad lalu saya mengalami retak di satu tulang kaki saya,” tulis Bowen dalam laman Instagram.

“Seperti biasa saya cuba berjuang dan terus bermain hingga saya tidak mampu lagi secara fizikal.

“Kecederaan berlaku dalam bola sepak, tetapi saya sudah tidak sabar untuk kembali ke sana secepat mungkin. Jumpa anda tidak lama lagi.” – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini