LONDON: Manchester City kekal bersaing hebat dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal awal pagi tadi, mengatasi cabaran getir Nottingham Forest selepas anak buah Mikel Arteta menewaskan Tottenham beberapa jam terdahulu.
Perebutan kejuaraan tiga penjuru kini menjadi pertarungan antara City kendalian Pep Guardiola dan kelab kendalian Arteta, yang berazam untuk menebus kesilapan pada hujung saingan musim lalu.
Arsenal mengumpul 80 mata dengan hanya berbaki tiga perlawanan, satu mata di depan City, namun juara bertahan itu mempunyai kelebihan beraksi kurang satu perlawanan dan kekal menjadi pilihan utama.
The Gunners mendahului 3-0 di Stadium Tottenham Hotspur malam tadi, berjaya menangani debaran cabaran lewat lawan sebelum menang 3-2 dan seketika melonjak empat mata di depan di puncak carta liga.
Gol-gol The Gunners disumbang jaringan sendiri pemain lawan, Pierre-Emile Hojbjerg sebelum dua lagi dijaringkan Bukayo Saka dan Kai Havertz.
Spurs mambalas dua gol menerusi Christian Romero dan Son Heung-Min.
City, sekalipun tidak berada pada tahap terbaik mereka, berjaya mengatasi cabaran Forest, yang berjuang untuk menyelamatkan diri mereka di liga utama, menerusi gol sumbangan Josko Gvardiol dan Erling Haaland.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.