Tumpuan :
Sukan

EPL: Arsenal seri di Stamford Bridge, Spurs tewas di laman sendiri

Pemain Arsenal, Gabriel Martinelli (tengah) menyepak masuk gol pembukaan menentang Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

LONDON: Arsenal dan Chelsea ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool selepas mereka seri 1-1 awal pagi tadi, manakala Ipswich mengejutkan Tottenham 2-1 bagi kemenangan pertama EPL dalam tempoh 22 tahun.

Sementara itu, Nottingham Forest terkeluar daripada kelompok empat teratas selepas tumpas 3-1 di laman sendiri kepada Newcastle.

Arsenal kini tidak menang dalam empat perlawanan EPL ketika usaha mereka untuk merebut kejuaraan pertama sejak tahun 2004 berdepan risiko kegagalan.

The Gunners menyambut semula kepulangan kapten Martin Odegaard dalam kesebelasan utama buat kali pertama dalam tempoh dua bulan dan kelihatan meningkat di Stamford Bridge, tetapi tidak mampu membawa pulang tiga mata penting.

“Kami amat tidak bernasib baik. Kami mendominasi ke atas satu daripada pasukan terbaik di Eropah tetapi kami tidak mendapat keputusannya. Itulah yang membezakannya,” kata bos Arsenal, Mikel Arteta.

 

Pemain Chelsea, Pedro Neto (dua dari kanan) meledak masuk gol penyamaan berdepan Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London, awal pagi tadi. Chelsea dan Arsenal seri 1-1. – Foto REUTERS

Odegaard mengumpan kepada Gabriel Martinelli untuk membuka tirai jaringan berdekatan dengan pintu gol selepas sejam.

Chelsea membalas menerusi percubaan jarak jauh memukau Pedro Neto bagi gol pertamanya dalam liga sejak perpindahan bernilai £51 juta (RM289 juta) dari Wolves.

Keputusan seri menyaksikan The Blues kekal di depan Arsenal menerusi perbezaan jaringan ketika kedua-dua pasukan melonjak ke kelompok empat teratas.

 

Pemain Ipswich, Sammie Szmodics (kanan) melakukan sepakan gunting untuk membuka tirai jaringan menentang Tottenham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London, lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Sementara itu, Ipswich yang akan beraksi pada perlawanan pertama kendalian Ruben Amorim di United dua minggu lagi, mendapat suntikan semangat selepas kemenangan pertama mereka sejak menamatkan penantian dua dekad untuk kembali naik ke liga utama.

“Ia satu detik besar, sesuatu yang perlu diraikan,” kata bos Ipswich, Kieran McKenna.

Sammie Szmodics mengambil kesempatan susulan kelesuan benteng Tottenham untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan gunting pada minit ke-31.

Liam Delap menggandakan kedudukan buat pelawat apabila dia merembat masuk dari jarak dekat selepas Radu Dragusin melakukan satu hantaran silang di depan golnya sendiri.

Spurs terpaksa bangkit untuk menang dalam lapan daripada 12 perlawanan liga terakhir mereka di laman sendiri tahun ini tetapi kali mereka mereka gagal melakukannya.

Rodrigo Bentancur mengurangkan defisit dengan satu tandukan padu susulan sepakan sudut Pedro Porro tetapi mereka tumbang kali kelima dalam 11 perlawanan liga.

Ipswich keluar dari zon penyingkiran manakala Spurs merudum ke tangga ke-10. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini