Tumpuan :
Sukan

EPL: Arsenal rampas tangga kedua liga

Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus (tengah) menanduk masuk gol pertama mereka melepasi penjaga gol Brentford, Mark Flekken pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Komuniti GTech, London, awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

LONDON: Arsenal merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool kepada enam mata ketika Gabriel Jesus meneruskan persembahan mantapnya apabila menang 3-1 di Brentford awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Mikel Arteta dikejutkan dengan gol babak pertama pada minit ke-13 menerusi Bryan Mbeumo di Stadium Komuniti GTech.

Namun Arsenal enggan ditewaskan dalam cuaca hujan dan berangin di barat London apabila Jesus menyamakan kedudukan pada minit ke-29.

Ia gol keenam penyerang Brazil itu dalam empat aksi terakhirnya selepas dia hanya menyumbat sekali dalam 20 perlawanan pertamanya musim ini.

Mikel Merino (minit ke-50) dan Gabriel Martinelli (m-53) meledak dalam tempoh singkat selepas rehat untuk memastikan Arsenal melonjak ke tangga kedua di depan Nottingham Forest.

“Kami menang di stadium sukar menentang lawan yang bagus. Rekod mereka di sini luar biasa dan apabila anda ketinggalan 1-0 ia menjadikan keadaan lebih sukar,” kata Arteta.

“Terutamanya apabila anda ketinggalan satu gol awal dalam perlawanan ini ia bagaikan satu gunung yang perlu didaki, tetapi kami tetap bersabar.

“Kami perlu menangani situasi itu secara emosi. Kami amat klinikal dalam kotak penalti. Persembahan Jesus amat penting.”

Tidak termasuk kemenangan besar 5-1 ke atas Crystal Palace, The Gunners kurang memukau dalam empat aksi terakhir liga selepas seri dengan Fulham dan Everton diikuti kemenangan tipis ke atas pasukan bawahan Ipswich.

Dengan Bukayo Saka diketepikan selama beberapa bulan kerana kecederaan hamstring, pemain berusia 17 tahun Ethan Nwaneri melakukan penampilan pertama liga bersama Arsenal.

Kai Havertz tidak beraksi selepas menjaringkan gol kemenangan Arsenal menentang Ipswich tetapi Jesus memastikan ketiadaan pemain Jerman itu tidak dirasai.

Perlawanan pertama Arsenal pada 2025 ini membuktikan mereka sedia bersaing mencabar kejuaraan bersama Liverpool, yang beraksi kurang satu perlawanan berbanding kelab utara London itu.– AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini