Tumpuan :
Sukan

EPL: 2 gol Salah bantu Liverpool berkongsi mata dengan Newcastle

Pemain Liverpool, Mohamed Salah (kanan) meledak masuk gol ketiga pasukannya menentang Newcastle pada aksi Liga Perdana Inggeris di St James’ Park, Newcastle, awal pagi tadi. Perlawanan berakhir seri 3-3. – FOTO: Reuters

NEWCASTLE: Catatan tujuh kemenangan berturut-turut Liverpool berakhir dengan penamat dramatik apabila gol penyamaan Fabian Schar pada minit terakhir memaksa pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu seri 3-3 di Newcastle awal pagi tadi.

Anak buah Arne Slot hanya dipisahkan beberapa saat daripada melakar satu lagi kemenangan dalam permulaan impian musim ini selepas Mohamed Salah menjaringkan gol keduanya menuju penghujung perlawanan.

Namun, berdepan ujian getir di Tyneside, Liverpool gagal mempertahankan kelebihan mereka ketika Fabian Schar menghukum kesilapan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher.

Gol roket Alexander Isak pada babak pertama meletakkan Newcastle di depan sebelum Curtis Jones menyamakan kedudukan selepas rehat.

Anthony Gordon mengembalikan kelebihan Newcastle sebelum dua gol Salah membolehkannya mengumpul 15 gol dalam semua pertandingan musim ini, termasuk sembilan dalam tujuh aksi terakhir liga.

Dengan mengumpul 35 mata daripada 14 permainan, Liverpool masih gah dipersada liga dengan perbezaan tujuh mata dengan Chelsea di tempat kedua.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini