Tumpuan :
Sukan

England rampas tangga teratas sekalipun bermain tanpa bintang

Penyerang England, Ollie Watkins (tengah) meledak masuk gol pertama menentang Greece pada aksi Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Olimpik Athens, Athens, awal pagi tadi. England menang 3-0. – FOTO: Reuters

ATHENS: Pasukan simpanan England tidak mempedulikan kritikan Harry Kane terhadap pemain bintang yang menarik diri apabila mereka menundukkan Greece 3-0 awal pagi tadi untuk menghidupkan peluang kembali ke divisyen utama Liga Negara-Negara Eropah.

Kane secara mengejut digugurkan oleh bos sementara Lee Carsley hanya 24 jam selepas komennya mengenai penarikan diri besar-besaran daripada skuad England.

Kapten England itu berkata, tugasan antarabangsa patut “diutamakan berbanding kelab” ketika beberapa pemain dikatakan dipujuk oleh pengurus kelab mereka supaya menarik diri bagi mengelak kecederaan ketika tempoh musim yang amat sibuk.

Cole Palmer, Trent Alexander-Arnold, Bukayo Saka, Declan Rice, Phil Foden, Jack Grealish, Levi Colwill, Aaron Ramsdale dan malah Jarrad Branthwaite, yang dipanggil pada saat khir, semuanya memilih untuk menarik diri daripada skuad Carsley.

Keputusan Carsley untuk meninggalkan Kane di bangku simpanan bagi 66 minit pertama sebelum memasukkannya sebagai pemain gantian dilihat sesetengah pihak sebagai teguran kerana komennya yang boleh memecahbelahkan pasukan.

Bagaimanapun hakikatnya, Kane mungkin diberikan rehat ketika kempen bersama Bayern Munich yang padat.

Namun ketiadaan pemain bintang itu tidak dirasai apabila pasukan simpanan England mencatat kemenangan yang membolehkan mereka mengawal tuah mereka dalam Kumpulan B2 Liga Negara-Negara.

Ollie Watkins, yang menggantikan Kane, meletakkan England di depan di Stadium Olimpik Athens seawal minit ketujuh sebelum gol sendiri penjaga gol Greece, Odysseas Vlachodimos pada minit ke-78 menggandakan kelebihan pasukan pelawat.

Seperti Watkins, Curtis Jones turut mendapat faedah susulan penarikan diri rakan sepasukannya dan pemain tengah Liverpool itu menandakan penampilan pertamanya dalam kesebelasan England dengan gol ketiga lapan minit sebelum tamat.

England merampas tangga teratas kumpulan mereka menerusi perbezaan jaringan di depan Greece dan akan terjamin layak ke Kumpulan A Liga Negara-Negara jika menewaskan Ireland di Wembley Ahad ini. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini