comscore
Tumpuan :
Sukan

England mahu Tuchel, Barry selaku penolong realisasikan impian juarai Piala Dunia 2026

Foto: FA England 

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

LONDON: “Saya berbangga diberikan penghormatan menerajui pasukan England!”

Itu antara ungkapan pengendali baharu Three Lions, Thomas Tuchel yang diumum Persatuan Bola Sepak England (FA England) hari ini.

Turut menyertai staf kejurulatihan beliau ialah Anthony Barry, individu yang disifatkan sebagai jurulatih terbaik di Inggeris sebagai pembantunya apabila kedua-duanya dijadual memulakan tugasan tiga bulan lagi.

“Bekerja dengan rapat bersama Anthony (Barry) selaku penolong, kami akan melakukan segala-galanya untuk menjadikan England berjaya dan membanggakan penyokong.” luah jurulatih kelahiran Jerman itu menerusi laman web rasmi FA England.

Ketua Pegawai Eksekutif FA, Mark Bullingham menjelaskan, pihaknya teruja dapat melantik Tuchel yang disifatkan salah seorang jurulatih terbaik di dunia.

Proses pemilihan dilakukan dengan teliti bermula pengumpulan calon, bertemu dengan jurulatih-jurulatih serta menilai kriteria sejak Julai lagi sebelum ikatan kontrak ditandatangani pada Selasa 8 Oktober.

Beliau juga mendedahkan individu yang dimahukan mampu memberikan peluang terbaik untuk menjuarai kejohanan dan percaya Tuchel serta barisannya mempunyai tumpuan utama merealisasikan peluang England menjuarai Piala Dunia 2026.

Pasukan kebangsaan akan terus dikendalikan jurulatih sementara Lee Carsley sehingga tugasan Liga Negara-Negara berakhir November sebelum beliau kembali ke pangkuan skuad bawah 21 tahun England.

Tuchel, Barry serta pasukan kejurulatihannya akan memulakan tugas 1 Januari 2025 menuju aksi kelayakan Piala Dunia yang ditetapkan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat setahun selepas itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini